Bagi anak jati Kampung Simunul, Semporna Sabah ini, dia berasa bertuah kerana hidup dan membesar di tepi laut. Lautan yang terbentang luas merupakan sumber rezeki yang tidak putus putus kepada warga pekan yang terletak di pantai timur Sabah itu. Mereka mungkin mengusahakan pusat peranginan, pemandu pelancong penterjemah dan yang lebih ramai menjadi nelayan serta pengusaha akuakultur.

Asbi,43, merupakan sebahagian daripada kejayaan penduduk Semporna yang berusaha gigih mengubah nasib meskipun tanpa pendidikan tinggi.

Baginya segulung ijazah dan diploma bukanlah jaminan kejayaan tetapi usaha serta sedikit tuah mungkin penentu kepada pencapaian hidup.

Asbi mewarisi `kerjaya’ nelayan yang diusahakan oleh bapanya. Malah, sejak di sekolah rendah lagi, Asbi mula berjinak jinak ke laut membantu bapanya.

Apabila menjejakkan kaki ke sekolah menengah dia semakin kerap ke laut tetapi pada jarak yang tidak terlalu jauh, namun ia sudah mengerti jerih perih kepayahan mencari rezeki di laut.

Berkongsi lebih lanjut Asbi berkata, sekiranya pada hari bersekolah sesi petang, dia akan mengikut ayahnya ke laut dan kelaur pukul 4 pagi dan pulang ke rumah pukul lapan pagi.

“Jika bersekolah sesi pagi pula, saya ikut bapa ke laut pada pukul 3 petang dan pulang ke rumah selepas waktu Maghrib,” ujarnya.

Asbi ditemui pada sesi lawatan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semporna dan Utusan Malaysia ke pekan berkenaan baru-baru ini.

Namun yang demikian, pada 1999 dia berhijrah ke Semenanjung selepas mendapat tawaran bekerja membina pelantar minyak sebelum kembali semula ke Semporna lima tahun kemudian.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke kampung halaman, Asbi tidak menunggu lama, untuk mengambil alih operasi bot nelayan bapanya.

“Saya menggunakan satu daripada dua bot yang ada bersama 12 awak- awak dan memulakan operasi menangkap ikan,’’ ujarnya.

Bermula tahun tersebut, Asbi kembali semua sebagai nelayan dan sehingga kini berbangga dengan pertambahan sebanyak 12 bot dan jumlah pekerja mencecah 100 orang.

“Ketika memulakan operasi semula sebagai nelayan saya menggunakan satu bot dan kos operasa hanya RM500 untuk keperluan asas sebelum ke laut, ‘’ ujarnya sambil memberitahu kos sebuah bot lengkap ketika itu adalah RM150,000 sebuah.

Dia turut menghargai bantuan kerajaan bagi membantu golongan nelayan sepertinya seperti subsidi diesel, elaun sara hidup dan intensif tangkapan.

Dia berharap kerajaan membina kemudahan jeti dan projek bekalan air serta bilik sejuk untuk menyimpan ikan bagi membantu nelayan di Semporna.

“Buat masa ini saya bercadang membina kemudahan bilik sejuk secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri,’’ ujarnya.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semporna, Abdullah Abdul Wahab berkata, golongan tersebut patut berfikir bagaimana menambah ilmu dan pergi meneroka laut dalam.

“Kita perlu tarik minat orang muda untuk menceburi kerjaya sebagai nelayan kerana bidang ini mempunyai masa depan,,’’ ujarnya.

Beliau memberi contoh, ilmu nelayan yang wajar dipelajari terutama eksplorasi laut dalam adalah daripada negara Jepun.

Kata beliau, kebanyakan pemilik nelayan beroperasi menggunakan lesen A dan B.

Setakat ini terdapat 1,184 ahli PNK di daerah Semporna .

Mengenai kekurangan kemudahan di Semporna Abdullah berkata, pihaknya sememangnya menyedari masalah tersebut akan diberi perhatian adalah pembinaan jeti untuk kemudahan nelayan dan kilang ais serta gudang menyimpan bekalan.

Setakat ini hanya ada sebuah jeti swasta yang ada di Semporna tetapi digunakan untuk bot pelancong.

Ternak lobster dalam sangkar

Selain terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan Asbi Jainudidn juga terlibat dalam pemeliharaan lobster atau udang kara dalam sangkar di kawasan perkampungan di Semporna.

Penglibatannya dilihat dapat membantu pengusaha restoran makanan laut di pekan tersebut mendapatkan bekalan secara tetap.

Untuk tujuan itu dia memelihara kira kira 300 ekor udang kara di Kampung Sejati Semporna tetapi memerlukan masa agak lama sebelum dipasarkan.

“Udang ini memerlukan dua tahun untuk dipasarkan bergantung kepada saiz benih,’’ ujarnya yang kini memasuki pusingan kedua dalam projek tersebut.

Umum mengetahui udang kara merupakan makanan laut yang popular dan berstatus premium. Harganya yang mahal mencecah RM250 sekilogram mendorong Asbi untuk mencari peluang memasarkan udang berkenaan.

Namun yang demikian dia tetap tekun mahu melihat projek berkenaan berjaya dan memberi pulangan lumayan selepas dua tahun diusahakan meskipun kerjaya sebagai nelayan telah memberinya kejayaan membanggakan.