LATA Bujang menjadi tumpuan penggemar aktiviti rekreasi pada hujung
LATA Bujang menjadi tumpuan penggemar aktiviti rekreasi pada hujung

Sudah tentu ‘orang penting’ kampung ini ditemui bagi mengumpul maklumat terkini mengenai kampung yang sudahpun berusia 110 tahun. Sejak dibuka oleh Nong Taib Santan yang lebih dikenali sebagai Pawang Nong bersama tujuh rakannya, Kampung Ulu Cheka meniti pembangunan seiring perubahan zaman.

Masih mengekalkan pertanian terutama getah sebagai pendapatan utama penduduk, kini anak muda menjana ekonomi daripada pelbagai sumber seperti ekopelancongan, rekreasi dan inap desa.

Setakat ini, terdapat 25 buah inap desa menawarkan penginapan sama ada bersama penduduk ataupun tidak, termasuk inap desa Lang Buana berkonsepkan calet.

Ketua Ketua Kampung Ulu Cheka, Nazri Che Husin, 54, berkata, banyak khazanah alam semula jadi yang kini menjadi harta penduduk kampung telah dipromosikan sebagai produk pelancongan berkonsepkan ekopelancongan.

Menurutnya, terdapat empat gunung yang boleh didaki iaitu Gunung Benum, Gunung Tungku, Gunung Jubar dan Gunung Bongkok. Air terjun dan jeram yang terdapat di kampung itu pula, antaranya Lata Bujang, Lata Berembun, Lata Jenderuh dan Air Terjun Sangka Dua, selain lokasi melihat bunga Rafflesia yang terletak di laluan ke puncak Gunung Benum.

Bagi memudahkan orang luar mendapatkan khidmat pemandu arah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ulu Cheka menubuhkan sebuah kumpulan pemandu arah yang terdiri daripada anak-anak muda kampung.

Katanya, harga pemandu arah bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan telah diselaraskan, misalnya caj seorang untuk mendaki Gunung Bongkok adalah RM30, manakala caj berkhemah di Lata Bujang adalah RM55 seorang.

“Caj itu meliputi pemandu arah, permit dan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lata,” katanya kepada S2.

Menurutnya, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang ‘menjaga’ kawasan masing-masing.

Lata Bujang, katanya terletak di bawah pengurusan Perhilitan dan beberapa kemudahan asas telah disediakan di kawasan perkhemahan tersebut.

Disebabkan semakin ramai orang luar datang ke Kampung Ulu Cheka untuk melihat kesan sejarah peninggalan Pawang Nong dan melakukan aktiviti lasak dan santai mendaki gunung atau berkhemah di air terjun, maka JKKK Ulu Cheka membuka Galeri Warisan bagi membolehkan orang luar mengetahui serba sedikit mengenai Ulu Cheka.

“Galeri ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris pada Oktober tahun lalu. Artifak lama yang dipamerkan bernilai tinggi dan mendapat pengesahan daripada pegawai Muzium Pahang.

“Antaranya parang, alatan perhiasan perkahwinan dan barang kemas. Ada kukur kelapa berusia 100 tahun, selain pinggan mangkuk dan pakaian,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kampung itu akan mengadakan karnival sempena pembukaan Kampung Ulu Cheka yang ke-110 tahun pada Julai ini.

KUBUR Pawang Nong terletak di halaman Masjid Kampung Ulu Cheka.
KUBUR Pawang Nong terletak di halaman Masjid Kampung Ulu Cheka.

“Kami akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menjayakan karnival ini dan diharap ia dapat memeriahkan lagi program Tahun Melawat Pahang 2017,” tambahnya.

Sementara itu, seorang pesara guru, Jamluh Mat Zium, 60, berkata, generasi lama sepertinya berasa bertuah kerana dapat melihat Kampung Ulu Cheka membangun seiring dengan perubahan zaman.

Katanya, program yang diadakan dari semasa ke semasa berjaya membuka mata generasi muda bahawa pembangunan sesebuah kampung tidak akan berhasil tanpa adanya jasa dan bakti orang lama.

“Kami sentiasa terapkan semangat Pawang Nong ke dalam jiwa anak muda supaya mereka sentiasa berusaha ke arah kehidupan yang lebih baik. Alhamdulillah, hasil kerjasama orang lama dan baru, Kampung Ulu Cheka berjaya meraih anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

Pada 2014, Kampung Ulu Cheka dipilih sebagai penerima Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (peringkat negeri), sekali gus mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan.

“Di peringkat kebangsaan, kampung kami merangkul Anugerah Desa Harapan 2014. Hadiah wang tunai sebanyak RM150,000 digunakan untuk pembangunan kampung,” katanya.

Orang ramai yang mahu menikmati keunikan kampung ini, bolehlah menghubungi Nazri (011-35224921), Jamluh (019-9158281) atau Fasal (019-9961565).