Mula berniaga dengan membuka beberapa kedai vape di Shah Alam dan beberapa lokasi di negeri lain, Mohd. Tariq Iqram Mohd. Taqiyuddin kini bertukar kepada perniagaan serba baharu iaitu perkhidmatan gunting rambut.

“Pada awal saya mempunyai enam kedai vape dan ada antaranya adalah milik saya sendiri dan sebahagiannya bersama rakan kongsi.

“Disebabkan beberapa faktor luaran, saya terpaksa menjual pegangan dan menutup sebuah kedai yang kini hanya tinggal empat buah sahaja menjadi milik saya,”jelasnya.

Idea The Barberist timbul apabila bersama dengan rakan-rakan yang menyuarakan hasrat tersebut dan melihat perkhidmatan gunting rambut sudah menjadi trend hari ini.

Tariq berkata, kecantikan dan penampilan diri bukan lagi milik wanita sahaja malah sudah ramai lelaki sedar akan kepentingan menjaga penampilan sama ada belajar mahupun bekerja.

“Saya seorang yang suka pada penampilan kemas dan bersih, tempat gunting rambut adalah salah satu penting buat saya bagi kelihatan segak serta bergaya.

“Itulah sebabnya The Barberist ditubuhkan, ia terletak dibawah kedai vape yang beroperasi di tingkat atas di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor,” jelasnya.

Selain menyediakan perkhidmatan menggunting rambut, merapi jambang dan bercukur The Barberist juga menyediakan perkhidmatan mengajar mereka yang berminat dalam mempelajari cara menggunting rambut dengan betul.

Tambah Tariq, kelas tersebut diajar oleh tenaga pengajar profesional dan memiliki sijil untuk mengajar orang lain. Kelas diadakan dengan memberi latihan cara mengendalikan gunting dan sebagainya.

“Setelah mahir memegang gunting, pengajar iaitu Hilmie Hashim yang juga tukang gunting utama The Barberist akan mengajar mereka menggunting pada patung sebelum praktikal kepada pelanggan.

“Kursus ini diadakan selama 30 hari mengikut waktu ditetapkan bagi memastikan seseorang itu mahir menggunting dengan pelbagai gaya masa kini,” jelasnya.

Perancangan The Barberist pada masa akan datang akan meluaskan perniagaannya seperti di Melaka dan Johor serta membangunkan jenama itu dalam kalangan masyarakat umum.