Seramai 50 murid berusia sembilan hingga 15 tahun menyertai program pada 20 hingga 23 Mac lalu di Damai Tioman Resort.

Pelbagai pengisian diadakan sempena program empat hari tiga malam itu. Salah satu daripadanya ialah mengetahui cara meneruskan kehidupan di dalam hutan dan pandu arah, selain penjagaan alam sekitar, mengenali spesies hidupan laut dan menjaga keselamatan diri ketika melakukan aktiviti air.

“Program ini menerapkan rasa yakin kepada diri peserta, selain berinteraksi bersama murid dari sekolah berbeza.

“Tema program diterjemah menerusi aktiviti seperti pendakian, merentas hutan, meredah sungai dan pandu arah.

“Antara lain, matlamat program adalah supaya peserta boleh mengamalkannya dan berkongsi dengan rakan dari sekolah lain,” kata Pengarah Program Bubble Camp 2017, Syed Rizalman Syed Abu Bakar kepada S2.

Menurutnya, pada sebelah malam, ceramah mengenai pemuliharaan alam sekitar berkaitan hidupan laut diadakan, selain ilmu kembara dan ikhtiar hidup di dalam hutan.

“Kita terapkan pengetahuan pemuliharaan bagi melahirkan generasi pelapis yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Generasi muda sekarang dapat berkongsi pengetahuan ini dengan rakan-rakan lain menerusi laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter,” kata Syed Rizalman.

Bagi aktiviti kembara hutan misalnya, peserta perlu memanjat pokok ara beringin dikenali Mother Willow yang mencecah ketinggian 10 meter dengan kecerunan 90 darjah di Kampung Paya.

Pokok Mother Willow dianggarkan berusia 100 tahun dan tumbuh di atas sebongkah batu besar, sekali gus menjadi tarikan utama. Ia juga laluan utama dalam misi menawan puncak Gunung Kajang.

“Peserta perlu berjalan kaki merentas hutan, mendaki bukit dan air terjun selama 30 minit dari pantai Kampung Paya untuk tiba di pokok besar tersebut.

“Tangga dibina menggunakan tali bagi memudahkan pengunjung memanjat bongkah batu besar itu,” kata salah seorang fasilitator program, Aznan Abas.

Walaupun penat dan hampir ‘pancit’ kerana jauh berjalan, peserta tetap bersemangat dan tidak sabar untuk memanjatnya.

“Saya akan berkongsi pengalaman sepanjang menyertai program ini,” kata Amirul Muliqkhin Mustafa Kamal, 13, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek, Pulau Tioman.

Selain hutan, peserta juga didedahkan dengan aktiviti pandu arah, mencanting batik dan membersihkan laluan dari pantai ke pokok Mother Willow.

Program itu juga memberi pendedahan tentang teknik dan asas menyelam, selam skuba dan langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti air.

Sementara itu, seramai sembilan peserta mengikuti kursus asas selam skuba sebagai pemudah cara bagi mengambil lesen open water dive.

Peserta termuda kursus lesen selam skuba, Ahmad Aidid Hakimi, 11, berkata, ini kali kedua dia mengikuti program tersebut dan menyifatkannya satu pengalaman yang cukup berbeza.

“Dahulu saya diajar tentang paya bakau, hakisan dan hidupan laut, kini saya belajar menyelam untuk melihat lebih dekat hidupan laut.

“Mana tahu satu hari nanti, saya akan mencuci batu karang dan sudah pasti ia memberi sumbangan kecil kepada penjagaan alam sekitar,” kata murid tahun lima SK Alam Damai Kuala Lumpur ini.