Tentu sekali cabaran paling utama adalah memastikan kewangan mencukupi sepanjang 12 hari berada di bumi Nepal. Setiap pendaki hanya dikenakan yuran komitmen sebanyak RM1,600 bagi tujuan pembelian tiket pesawat.

Kos selebihnya dibiayai oleh pihak penaja termasuk kos mendaki kira-kira RM2,200 seorang (AS$500). Itu belum lagi termasuk kos makan dan minum di luar waktu mendaki, selain perbelanjaan peribadi dan membeli-belah.

Ternyata kedatangan kami memberi rahmat kepada Nepal kerana melalui program ini sahaja, dianggarkan lebih RM140,000 mengalir masuk melalui tukaran wang asing, sekali gus membantu menjana ekonomi negara miskin itu.

Justeru, kesudian pihak yang memberikan sokongan dan menaja sebahagian perbelanjaan program ini amatlah dihargai. Apatah lagi kejayaan 62 peserta menakluk Annapurna Base Camp (ABC) pada 30 April 2017 akan dicatat dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) tidak lama lagi.

Antara pihak yang memberikan sokongan adalah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah dan beberapa menteri Kabinet.

“Turut memberikan sokongan adalah Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Shahrudin Ahmad,” kata ketua ekspedisi, Fazli Ahmad kepada S2.

Selain itu, Risda, Chatime Malaysia (Will Group), Anih Berhad, Alam Flora Berhad, Genting Malaysia Berhad, Malaysia Airlines Berhad, Universal Fitness & Leisure Sdn. Bhd., Solar Alert Sdn. Bhd., dan Jenang Batik turut memberikan sokongan.

“Program ini juga menerima sokongan daripada pejabat Perdana Menteri. Malah sokongan ini diterima sejak kami menganjurkan program pertama di Gunung Fansipan, Vietnam pada 2014,” ujarnya.

Terima kasih daun keladi, kalau boleh menyumbanglah lagi untuk program pendakian tahun depan iaitu mendaki ‘bumbung’ Afrika di Gunung Kilimanjaro.