Menjadikan Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh Selangor sebagai lokasi pilihan, program tersebut menjadi platform penyatuan penggemar aktiviti jamboree basikal bukit yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Pelepasan program yang bermula seawal lapan pagi itu disempurnakan Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, DSP Md. Noor Aehawan Mohammad.

Presiden persatuan, Razali Abdul Rahman dalam kenyataan berkata, selain mempromosikan gaya hidup sihat, jamboree berbasikal yang dilaksanakan sejak 2013 itu juga bertujuan memperkenalkan Bandar Saujana Utama dan kawasan sekitar Sungai Buloh sebagai destinasi sukan berbasikal.

“Ini kerana kawasan tersebut mempunyai persekitaran dan laluan yang sesuai untuk aktiviti berbasikal,” katanya.

Pada penganjuran kali ini, peserta berbasikal sejauh 30 meter menerusi laluan kayuhan di sepanjang Bandar Saujana Utama, Ladang Elmina, Ladang Pertubuhan Peladang Kuala Selangor dan kawasan kampung sekitar Tasik Biru Kundang serta Merbau Sempak.

Razali memberitahu, untuk kali ini bentuk laluan tidak berbahaya dipilih bagi membolehkan peserta menikmati pengalaman berbasikal secara santai dan menyeronokkan.

“Laluan direntasi tidak ekstrem membolehkan acara berbasikal ini disertai peserta pelbagai peringkat umur dan jantina.

“Namun, selain jalan-jalan berturap yang menguji kelajuan, peserta turut menempuh laluan berbukit yang mengerah tenaga serta kemahiran mengawal basikal,” ujarnya.

Sutama Cyclo 3.0 MTB tampil kelainan apabila dilaksana secara terbuka tanpa kategori umur dan perlumbaan. Hampir semua peserta berjaya menamatkan kayuhan selama tiga jam tanpa sebarang insiden tidak diingini.