Hari kedua pendakian semalam, menyaksikan ada dalam kalangan peserta mula tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk selain perlu melalui trek yang semakin mencabar.

Ketua Ekspedisi Fazli Ahmad berkata, laluan bertangga dan menegak sepanjang perjalanan benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental peserta.

"Bagaiamanapun, kesemua peserta berjaya tiba di Kem Bamboo pada ketinggian 2,145 meter setelah mengharungi perjalananan hampir sembilan jam dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Suhu di Kem Bamboo yang sejuk dan berangin juga tidak menghalang peserta untuk meneruskan misi menakluk Kem Pangkalan Annapurna (ABC) pada hari keempat yang setinggi 4,130 meter," katanya.

Hari ini, kumpulan yang dianggotai 62 pengamal media, anggota dan pegawai JBPM akan meneruskan pendakian ke Deurali yang terletak pada ketinggian 3,200 meter.

Selain Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), misi itu juga disertai 31 pengamal media termasuk Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3, the Star, Kosmo, Harian Metro, TV Alhijrah dan Astro Awani.

Peserta dijangka berjalan sejauh 15 kilometer dengan masa perjalanan kira-kira lapan jam dan akan berhadapan dengan suhu yang semakin rendah.

Fazli berkata, peserta juga akan berhadapan dengan trek yang bersalji selain masalah bekalan oksigen yang semakin nipis dan penyakit akut gunung (AMS).

"Bagaimanapun, pasukan perubatan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh yang turut menyertai misi ini sentiasa memantau keadaan kesihatan setiap peserta," katanya.

Ekspedisi itu bakal melakar sejarah dengan memahat nama dalam Malaysia Book of Records bagi kategori ekspedisi terbesar ke ABC. - BERNAMA