Kami memilih trek Baderan di daerah Situbondo dan turun mengikut trek Bremi di Probolinggo.

Perjalanan bermula pada 27 April lalu. Kami tiba di Lapangan Terbang Juanda pukul 10.30 malam waktu tempatan.

Bersama rakan pendaki Muhamad Fuad Muhamad, Noorhaffiz Ismail (Apis), Fahmi Mohd Tauhid, Mohd Azam Zaki Mohamed Nor dan Nor Thahar Mohd Nawi, kami bertemu rakan pendaki Indonesia, Merryskhe Lelah (Merys). Van ELF yang dipandu Mas Edi bergerak menuju ke base camp Baderan. Perjalanan memakan masa enam jam dan tiba menjelang subuh.

Merys membantu kami memudahkan semua urusan berkaitan pendakian termasuk mendapatkan permit mendaki untuk dua hari.

Sebelum ini, pendaki memerlukan tiga hari untuk menamatkan pendakian, tetapi sejak adanya khidmat sewa motosikal yang telah diubah suai untuk laluan lasak, pendaki hanya memerlukan dua hari untuk naik dan turun dari puncak Argopuro.

Selesai sarapan dan menyusun barangan, kami menaiki motosikal. Cabaran bermula selepas kami berhenti rehat dan berkumpul untuk masuk ke simpang kiri. Menempuh laluan mendaki menyebabkan beberapa barang terpaksa dibahagikan kepada rakan-rakan.

Kira-kira 30 minit kemudian, kami melepasi laluan sempit dan tiba di Pos 1 untuk berehat. Pos ini merupakan tapak perkhemahan untuk pendaki yang berjalan kaki. Sebuah motosikal yang disewa terpaksa ditukar rantai. Di sini juga, seluar seorang rakan koyak, selain kepenatan.

Laluan motosikal yang seterusnya lebih sempit. Ada masa kaki kami terlanggar tebing. Boleh tahan juga sakitnya.

Dengan kekuatan jentera dua roda, kami menempuh laluan mendaki. Ada kalanya kami terasa seperti ‘diterbangkan’ kerana henjutan yang kuat.

Di beberapa tempat, kami berusaha mengelak kaki daripada terlanggar tebing. Namun, muka pula terhantuk pada kepala penunggang motosikal sehingga melukakan bibir.

Kami sampai ke padang savana pertama untuk berehat serta mengambil gambar pemandangan indah. Kami menunggu rakan-rakan lain yang belum tiba. Di padang savana ini, terdapat satu pohon besar seakan pokok di Plawangan, Gunung Rinjani. Di situlah kami berteduh daripada terik mentari.

Perjalanan seterusnya menuju ke Cikasur, tempat kami akan mula menapak ke puncak. Khidmat motosikal sewa berakhir di situ. Masih dalam laluan padang savana, terdapat sungai di sebelah kiri. Ironinya terdapat tinggalan lapangan terbang di situ.

Kami dipertemukan dengan Pak Mitra yang akan menjadi porter kami. Dua karung guni digunakan untuk membawa barangan kami yang dikandar.

Setelah menikmati secawan teh, kami bergerak ke kem seterusnya di Cicentor. Ketinggian mencecah 2,400 meter. Laluan dipenuhi lalang separuh pinggang. Kami tiba di Cicentor pada pukul 3 petang. Untuk sampai ke sana, kami perlu menyeberang sungai.

Sambil menunggu rakan lain tiba, kami berbincang sama ada mahu bermalam di sini atau tidak. Kesejukan mula terasa. Nasib baiklah air mudah diperoleh, selain terdapat pondok rehat.

Setelah semua pendaki tiba, kami menunaikan solat jamak berjemaah. Bagi menggalas perut, kami sekadar makan mi segera sebelum bergerak ke Rawa Embek. Perjalanan ditemani bulan mengambang.

Kami mengambil masa satu jam setengah iaitu 30 minit lebih awal daripada jangkaan untuk tiba di Rawa Embek. Waktu Maghrib baru masuk, sekitar pukul 6.05 petang. Di ketinggian 2,800 meter, kedinginan semakin terasa. Nasi yang dimasak menjadi antah kerana kekuatan api dapur sekitar 30 peratus sahaja.

Keesokannya, kami bergerak menuju ke Savana Loceng atau Simpang Argopuro. Masa mendaki sekitar satu jam. Laluan masih separuh tertutup dengan turun dan naik sedikit. Sepanjang pagi ini, bunyi deruan angin sangat kuat kedengaran.

Puncak pertama yang ditakluk adalah Rengganis. Dari Savana Loceng, kami mendaki secara balik hari sahaja. Hanya 15 minit mendaki, kami sudah sampai di puncak berketinggian 2,950 meter. Pemandangan kawah menuju ke puncak amat mengujakan. Di puncak, kami bergambar bersama banner OGKL 25 tahun sebelum turun semula ke Savana Loceng untuk makan tengah hari.

Selepas itu, kami meneruskan pendakian ke puncak Argopuro. Pendakian memakan masa 30 minit. Sebaik tiba di puncak yang berketinggian 3,088 meter itu, sekali lagi kami bergambar. Puncak hanya dikelilingi pokok-pokok yang tinggi. Syukur, kami cuma mengambil masa sehari setengah untuk sampai ke puncak Gunung Argopuro.