Di laut, perenang terdedah dengan bahaya sengatan ubur-ubur, arus dan ombak. Manakala renangan di tasik pula tiada elemen tersebut, sekali gus menjadi lebih mudah.

Ketua jurulatih merangkap pengasas pusat latihan renangan air terbuka, Swimon Sdn. Bhd. (Swimon), Amirizal Ishak, 48, berkata, teknik yang betul diperlukan bagi membolehkan seseorang melakukan renangan jarak jauh sama ada di laut atau tasik dengan selamat.

Katanya, latihan konsisten perlu bagi membolehkan perenang mempelajari cara menyimpan tenaga bagi mengelak keletihan melampau.

“Dalam renangan air terbuka, teknik yang paling penting adalah sighting. Ini kerana kita tidak nampak lane bagi membolehkan sampai ke destinasi yang hendak dituju.

“Maknanya, dalam setiap 10 kuak, kita perlu mendongak ke atas untuk melihat destinasi yang dituju. Jika tidak, kita akan tersasar. Ketika berenang, kita juga tidak boleh menggunakan kaki terlalu banyak, sebaliknya fokus pada bahagian depan serta pusingan badan bagi menjimatkan tenaga dengan mengambil nafas apabila menoleh ke tepi.

“Jika oksigen tidak sampai ke badan, kaki akan berasa kejang dan antara salah satu sebabnya adalah kita menahan nafas,” katanya ketika ditemui S2.

Swimon yang diwakili 14 perenang, baru-baru ini buat julung kalinya dijemput menjayakan program renang di Tasik Bukit Merah. Acara renangan itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan Orang Utan.

Renangan sejauh 2.1 kilometer itu turut disertai Duta Oceanman Malaysia, Jose L. Larossa. Pelepasan peserta untuk memulakan cabaran disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali. Program itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-20 Bukit Merah Laketown Resort.

Sementara itu, Larossa, 36, berkata, dia yang juga seorang jurulatih renang telah berkecimpung dalam sukan tersebut lebih 20 tahun lalu, selain aktif menyertai pelbagai pertandingan di peringkat dunia.

Menurut Larossa, pertandingan paling mencabar yang pernah disertainya ialah kejohanan renangan air terbuka terpanjang dunia merentasi Sungai Ganges di India pada September tahun lalu sejauh 81 kilometer dengan catatan masa 11 jam.

“Teknik yang betul serta gigih menjalani latihan penting bagi mengharungi cabaran renang jarak jauh. Perenang mesti tahu menguruskan kondisi di sesuatu lokasi renang kerana ia mungkin berbeza dari segi arus dan ombak.

“Apapun, renangan air terbuka kini semakin berkembang dan diminati ramai. Jadi, saya cuba untuk mempromosikannya serta memberi motivasi kepada orang lain,” katanya.

Bagi seorang perenang wanita, Esmee Aniza Mohamed, 39, peluang menyertai renangan di Tasik Bukit Merah merupakan satu pengalaman yang menarik walaupun mengakui dirinya masih di peringkat amatur.

“Renang merupakan hobi saya dan berenang di tasik ini memang mengujakan kerana airnya begitu segar,” katanya.