Penolong Pegawai Perikanan Seksyen Akuakultur dan Pengembangannya, Badeli Hassan berkata, sekalipun dijangka 20 hingga 40 peratus benih udang galah itu akan gagal hidup kerana dimakan pemangsa atau kesukaran mencari makanan tetapi ribuan daripadanya akan melepasi cabaran tersebut.

“Jadi udang galah akan menjadi satu daya tarikan baharu kepada kaki pancing di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim selaku Ahli Parlimen Arau melepaskan benih udang galah di Su­­ngai Tambun Tulang, dekat sini semalam.

Jabatan Perikanan memperoleh 50,000 benih udang galah daripada Pusat Pene­tasan Udang Galah Kompleks Perikanan Kampung Acheh Sitiawan, Perak.

Sebanyak 14,000 dilepaskan di kolam Jabatan Peng­airan dan Saliran (JPS) dan selebihnya di Sungai Tambun Tulang yang merupakan program pertama pelepasan benih udang galah anjuran jabatan berkenaan di negeri ini pada tahun ini.

Badeli berkata, ini merupakan kali kedua benih udang galah dilepaskan di Sungai Tambun Tulang.

“Pada tahun lalu sebanyak 330,000 benih udang galah dan ikan seperti baung dan lampam dilepaskan di Empangan Timah Tasoh dan beberapa sungai di negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, udang galah dan spesies ikan ini akan mudah didapati di beberapa sungai di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan pukat atau jala jika mahu menangkap udang galah.

“Ini kerana cara tersebut akan menyebabkan udang yang masih kecil akan tersangkut sama sedangkan ia masih boleh dibiarkan untuk terus membesar,” katanya.

Badeli berkata, orang ramai dinasihatkan menggunakan pancing untuk menangkap udang galah.