Namun, dengan peredaran zaman, permandangan itu semakin menghilang dan dewasa ini, ramai yang mengganggap gasing sudah tidak lagi relevan serta telah  alah dek lambakan permainan komputer serta gajet-gajet baharu.

Untuk mmenjawab persoalan ini, wartawan Utusan Online, Nurulanuar Mansor bersama juru video, Daniel Zaini menyusuri para penggiat permainan rakyat yang tidak kenal erti penat lelah yang bernaung dibawah Persekutuan Gasing Malaysia dan beberapa orang anak muda yang masih mempunyai minat tinggi terhadap gasing.

Bagi mereka, permainan rakyat yang dikenali disaentero dunia ini akan terus berputar ligat tidak kira sebanyak mana zaman berubah.

Bermain gasing sejak sekolah rendah, Pemain Terbaik Kejohanan MyGasing 2016, Yazid Paring, 33, menyatakan, bagi dirinya, gasing bukan sekadar satu permainan untuk mengisi masa lapang tetapi satu pengajaran mengenai kehidupan.

Dia yang meluangkan masa dua kali seminggu untuk berlatih bermain gasing berkata, putaran gasing umpama putaran kehidupan manusia.

"Bermain gasing mangajar kita banyak perkara, antaranya semangat kerjasama dan kepentingan melihat satu-satu perkara dari sudut yang pelbagai.

"Inilah pengajaran yang tersirat dalam permainan gasing yang tidak dapat disaingi oleh permainan komputer dewasa ini," kata pemuda yang turut menyatakan keyakinan bahawa gasing mempunyai potensi tinggi untuk dijadikan acara sukan.

Pandangan golongan penggiat permainan gasing generasi muda seperti Yazid disedari dan diperakui oleh golongan terdahulu seperti Pengerusi Pegama, Kassim Isop.

Menurut Kassim, menyedari bahawa gasing mempunyai tarikan tersendiri merentasi zaman, pihaknya telah mengambil beberapa inisiatif bagi mempopularkan kembali permainan ini.

Selain daripada memperkenalkan gasing polimer, Pegama bekerjasama  Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan pertandingan gasing Malaysia dan juga tradisonal d untuk memastikan permainan tradisional tersebut tidak dihakis perubahan zaman.

"Kami yakin, sekiranya pertandingan-pertandingan ini giat dianjurkan dengan hadiah-hadiah yang lebih lumayan, ia akan menarik perhatian lebih ramai peminat terutamanya di kalangan golongan muda dan kembali popular.

"Ini merupakan langkah paling ampuh yang diambil bagi menjaga dan mempopularkan kembali warisan gasing yang tertumpu di beberapa kawasan ini," kata beliau.

Menyokong pendapat Kassim, Penolong Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya JKKN Wilayah Persekutuan, Zahari Mat, 34, terdapat sebanyak 11 buah persatuan gasing di seluruh negara kecuali Sabah, melibatkan lebih daripada 800 ahli yang menggemari permainan tradisional ini.

Jelas beliau, ini menjadikan pertandingan seperti penganjuran Kejohanan MyGasing 2016 abru-baru ini merupakan satu inisiatif kerjaan untuk mempromosikan semula permainan gasing supaya tidak ditelan zaman memandangkan permainan tradisonal itu merupakan khazanah bangsa yang wajar dipelihara.

"Walaupun gasing dikenali ramai, ia semakin dilupakan. Dahulu, permainan ini kerap dimainkan malah dijadikan pertandingan.

“Untuk memastikan ia tidak luput, kerajaan telah memperhebatkan usaha untuk mempromosikannya melalui aktiviti seperti penganjuran pertandingan seperti MyGasing," ujar beliau.

Ujar beliau, usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini harus diberikan sokongan oleh semua lapisan masyarakat.

Kata beliau, jika usaha-usaha begini tidak dilakukan, satu hari nanti generasi akan datang akan pasti terpinga-pinga apabila mendengar seperti gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang. - UTUSAN ONLINE