Program anjuran DBKL dan Multigreen Events Sdn. Bhd. itu turut disertai empat bekas pelumba basikal negara, Noreffendi Rosli, Suhaimi Keton, Musairi Musa dan Suhardi Hassan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, program ini merupakan salah satu usaha untuk memupuk aktiviti berbasikal di kalangan warga kota dan warga kerja pihak berkuasa tempatan itu selain menjadikan bandar raya ini sebagai ‘Bandar Mesra Basikal’.

“Objektif utama program ini adalah untuk mempromosi Laluan Biru kepada warga kota di samping memastikan aspek keselamatan untuk pengguna basikal di sini diberi keutamaan,” katanya semasa merasmikan majlis di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana KL Car Free Morning Datuk Naim Mohamed, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff dan Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, Datuk Mustafa Mohd Nor. - UTUSAN ONLINE.