Tidak salah mendaki solo tetapi kalau ilmu kurang di dada, lebih baik kita mendaki dengan rakan atau penganjur ekspedisi berpengalaman dan berilmu. Penganjur dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan pendaki yang menjadi pelanggan mereka.

Sila belajar dan dapatkan pengalaman sewajarnya sebelum menjadi penganjur. Saya pernah terjumpa dengan penganjur program mendaki yang tidak tahu istilah buta salji (snow blind) dan mengakibatkan semua pelanggannya mengalami buta salji sederhana.

Malah saya juga pernah terjumpa penganjur yang membenarkan pelanggannya mendaki dengan memakai kasut treking potongan rendah (low cut) di gunung bersalji tebal.

Bagi saya, penganjur sedemikian tidak bertanggungjawab dan tidak cekap dengan meletakkan risiko tinggi kepada pelanggan mereka.

Justeru itu, saya menyarankan pendaki agar belajar secara formal. Jika mahu serius, anda boleh mendaftar di mana-mana sekolah pendakian (mountaineering) atau mengambil kursus alpine.

Selain itu, mendakilah dengan ikhlas. Mendaki ialah satu hobi dan semangat. Dalam kita melayan hobi, aspek keselamatan mestilah diutamakan. Masalah ramai pendaki adalah mereka mendaki untuk menulis status diri di media sosial untuk dipuji.

Sebab itulah, ramai yang sanggup mengambil risiko dan kadangkala melakukan perkara tidak wajar yang kemudian diolah cerita sebagai seorang hero!.

Jadilah pendaki yang berilmu, berkemahiran dan dihormati pendaki lain dari dalam dan luar negara.

Jangan sampai ke satu tahap, apabila kita berjumpa pendaki luar negara, mereka pandang lekeh dan merendahkan kualiti kita sehinggakan pendaki Malaysia ‘terkenal’ dengan tahap keselamatan yang rendah.

Ia boleh berlaku jika tiada usaha ke arah mendapatkan ilmu dan kemahiran mendaki.

Kesimpulannya, kemalangan di gunung boleh berlaku atas faktor cuai, kurang pengetahuan, nasib kurang baik atau sengaja menjadi kurang bijak. Anda yang menentukan.

Matlamat saya ialah ingin melihat pendaki Malaysia terkenal di peringkat antarabangsa sebagai pendaki berilmu, berintegriti, dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang baik. Sama-samalah kita mengambil iktibar.