Tujuan latihan itu adalah supaya peserta boleh mengadaptasi suhu dan cuaca semasa berkayak bagi menakluk Sungai Nil di Mesir. Dalam fasa akhir ini juga, mereka didedahkan dengan doktrin kekuatan mental untuk berjuang hingga ke garisan penamat.

Kesemua peserta akan berkayak dari Aswan hingga ke Luxor dengan jarak 250 kilometer (km). Misi nasional ini digalas oleh tujuh peserta yang terdiri daripada anak-anak muda tempatan iaitu lima lelaki dan dua wanita. Mereka dilatih sepenuhnya oleh Muhamad Nur Azrul.

“Apabila masuk sahaja fasa akhir ini, saya melihat peserta lebih konsistan dan mental mereka jauh lebih baik berbanding tiga bulan lalu, semasa saya mula-mula mengenali mereka. Saya telah memberikan yang terbaik buat mereka dan hanya kemahuan serta doa sahaja yang akan memastikan kejayaan misi nasional ini. Saya yakin, mereka akan memberikan persembahan terbaik semasa berkayak di Sungai Nil nanti,” kata Muhamad Nur Azrul kepada S2.

Dalam pada itu, seorang peserta lelaki termuda berusia 22 tahun dan masih menuntut di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Ahmad Iqbal Khairi Ismail berjanji akan memberikan yang terbaik untuk menakluk Sungai Nil nanti.

“Saya dan rakan-rakan yakin kami mampu menakluk Sungai Nil selepas beberapa bulan menjalani latihan intensif di bawah Majlis Rekreasi Malaysia bersama Coach King (Muhamad Nur Azrul),” katanya yang dalam latihan telah mencatatkan keputusan Ujian Kecerdasan (Bleep Test) terbaik di aras 12.3.

Seorang peserta wanita, Hasnida Hanim Akmad Kamil yang berasal dari Ipoh, Perak berkata, dia yakin kesemua peserta mampu menakluk Sungai Nil dengan jarak kayak 250 km.

“Saya berjanji akan memberikan yang terbaik bagi membuktikan wanita Malaysia juga mampu untuk bersaing di pentas antarabangsa,” ujar Hasnida yang mendapat keputusan Ujian Fizikal terbaik Bleep dengan aras 9.8.

Sementara itu, peserta lain, Shamsudduha Junaidi berkata, dalam banyak-banyak latihan yang mereka laksanakan, latihan memikul kayak dengan bebanan 40 kilogram sambil mendaki Bukit Broga adalah latihan paling lasak dan benar-benar menguji kekuatan fizikal dan mental mereka.

“Di samping itu, latihan berlari sejauh 10 km pada pukul 2 pagi di Air Terjun Jerangkang, Maran, Pahang juga agak mencabar,” tambahnya.

Dalam pada itu, flag off peserta kayak ini akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di pejabat beliau di Menara KBS beberapa hari sebelum tarikh ekspedisi yang bermula pada 8 November ini.

Ekspedisi yang dijangka berakhir pada 19 November ini mendapat sokongan penuh daripada KBS, selain Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

Muhamad Nur Azrul merakamkan jutaan terima kasih kepada Kenanga Invesment Bank, Ciclista (M) dan rakan media iaitu Utusan Malaysia dan TV3 atas sokongan yang berterusan kepada Majlis Rekreasi Malaysia dalam menjayakan ekspedisi ini.

“Kami juga sedia berkongsi pengalaman dan rentetan perjalanan sepanjang ekspedisi ini bersama rakan-rakan lain di Malaysia,”ujarnya mengakhiri perbualan.