Dia membayar sebanyak RM900 bagi pakej merangkumi penginapan, makan minum serta kos lawatan ke lokasi-lokasi menarik selama empat hari tiga malam selain bayaran permit mendaki.

“Saya dan seorang rakan membuat tempahan setahun lebih awal di mana bayaran kami buat secara berperingkat-peringkat. Kami bayar penganjur sebanyak RM400 sebagai pendahuluan dan selebihnya dibuat pada bulan berikutnya,” katanya yang turut mengeluarkan belanja sebanyak RM700 untuk tiket penerbangan dan kelengkapan mendaki.

Namun, keterujaan Farha dan 13 peserta lain bertukar kekecewaan setelah dimaklumkan nama mereka tidak tersenarai untuk mendapatkan permit mendaki sekali gus terpaksa membatalkan program pada hari kejadian.

“Kami mengesyaki dia (gogo) tidak menyerahkan permohonan permit mendaki dan selama ini hanya berbohong apabila mengatakan segala persiapan disempurnakan.

“Apapun pihak penganjur bersetuju memulangkan wang penyertaan setelah kami ugut untuk membuat laporan polis. Namun, saya masih kecewa kerana masa, cuti, dan perbelanjaan tambahan terbuang begitu sahaja disebabkan program dibatalkan,” jelasnya.

Berdepan pengalaman hampir sama, Nor Liyana Mohamed Noor, 28, tidak menyangka dikecewakan gogo yang dianggap berpengalaman dalam mengendali program mendaki.

“Saya dan 30 peserta lain membayar sebanyak RM100 untuk program mendaki gunung Penelope, Cecil, Chantik dan Chentuk di Cameron Highlands. Bayaran itu adalah untuk permit mendaki, makan minum, penginapan dan khidmat kru.

“Pada hari kejadian, kami dihalang masuk oleh pegawai penguatkuasa kawasan. Tanpa memaklumkan peserta, gogo didapati tidak memohon permit.

“Dalam keadaan itu, gogo masih menabur janji palsu, merancang mengganti program itu kepada pendakian gunung lain pada hari sama. Mereka tidak menitik berat risiko kerana hakikatnya, kami tetap tidak memiliki permit untuk meneruskan pendakian mana-mana gunung sekali pun,” ujarnya.