Tarikan utamanya ialah pemandangan yang amat menarik terutama ketika matahari terbenam selain kawasan yang landai dan bongkah-bongkah batu di sepanjang pesisir pantainya yang disusun bagi mengekang hakisan ombak.

Menurut cerita lisan penduduk tempatan, kawasan ini ini dahulunya adalah kawasan sawah padi yang subur namun ditenggelami air laut.

Menurut seorang penduduk, Idris Yusuf, 66, yang tinggal di Kampung Parit Sungai Melan, Pantai Ban Pecah sepanjang lebih kurang enam kilometer iaitu dari Kampung Nelayan Tanjung Piandang sehingga Kuala Kurau dan dahulunya dipenuhi pokok api.

Katanya, disebabkan ombak kuat Laut Selat Melaka, maka hakisan bertambah teruk sehingga ban penahan ombak yang dibina akhirnya pecah dan sawah padi dimasuki air laut.

“Berpuluh-puluh hektar kawasan yang dahulunya sawah padi kini tenggelam menjadi laut. Difahamkan geran tanah sawah padi yang tenggelam ini masih tersimpan di Pejabat Daerah dan Tanah Kerian,” katanya.

Menurutnya, kawasan itu kini bertukar wajah dan menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga atau meman­cing .

Katanya, penduduk di situ pernah membina gerai untuk menjual makanan namun ia jadikan tempat santai orang ramai yang mandi manda di pantai tersebut.

“Kedatangan pengunjung ber­-
­­tambah pada hujung ming­gu, seperti pesta manakala kaki pancing sanggup memancing dari malam sehingga ke subuh,” katanya.

Seorang pengunjung, Jumli Abas, 55, dari Bagan Serai berkata, dia sanggup berbasikal sejauh 20 kilometer untuk ke Pantai Ban Pecah untuk melihat keindahan alam semulajadi serta kawasan sawah padi.

Katanya, Pantai Ban Pecah semakin dikenali termasuk orang luar dan berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancong.

“Pantai Ban Pecah boleh menjadi tarikan pelancong di daerah ini selain daripada Bukit Merah Lake Town dan Kuala Gula,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Che Samlan Ismail, 53, berkata, Pantai Ban Pecah juga menjadi tumpuan kaki pancing kerana banyak terdapat jenis ikan di kawasan berkenaan antaranya kaparu, pari sembilang dan udang.

“Pantai ini memang menjadi tumpuan kaki pan­cing apatah banyak pertandingan memancing diadakan di sini dan sambutan amat menggalakkan,” katanya.