Namun bila disebut Ramly Burger ia adalah jenama yang sangat dekat di hati rakyat Malaysia kerana rasanya yang asli dan merupakan produk burger pertama yang dikeluarkan sendiri oleh rakyat negara ini iaitu oleh Datuk Ramli Mokni dan isterinya, Datin Shala Sian Abdul Manap.

Jika dahulu burger yang dihasilkan sejak 1984 oleh pasangan suami isteri ini hanya dijual di gerai-gerai kecil di tepi jalan. Namun kini Kumpulan Ramly di bawah anak syarikatnya, Ramly Halal Kiosk Sdn. Bhd. mula menjual produk keluaran mereka di Restoran Ramly.

Ramly Burger

Apa yang lebih menarik, Restoran Ramly mempunyai reka hiasan dalaman yang moden dan selesa setanding dengan restoran-restoran antarabangsa.

Antaranya, Restoran Ramly turut dilengkapi set-set sofa sesuai dengan citarasa golongan muda masa kini yang mahukan kehidupan santai ketika menjamu selera.

Ramly Burger

Tidak ketinggalan dengan menggunakan set-set lampu reka bentuk moden, penata-cahayaan turut diberi perhatian bagi membina suasan nyaman di dalam restoran tersebut.

Pengurus Besar Kumpulan Ramly, Mohammad Fuad Abd. Rashid, yang ditemui di Restoran Ramly cawangan AEON Big Wangsa Maju berkata, reka bentuk dalaman restoran itu dibincang secara teliti bagi menepati citarasa semasa pelanggan.

“Kita reka bentuk hiasan dalaman restoran ini atas inisiatif sendiri bersama dengan pereka yang kita pilih,” jelas Mohammad Fuad ringkas.

Ramly Burger

Restoran Ramly yang mula beroperasi sejak Disember 2015 sehingga kini telah mempunyai tujuh cawangan.

Lima daripada restoran tersebut berada di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuh Raya Utara Selatan iaitu dua di Gurun arah selatan dan utara, masing-masing satu di Gunung Semangol arah selatan, Seremban di arah utara dan Pagoh di arah selatan.

Dua lagi masing-masing satu di AEON Big Wangsa Maju dan Sri Rampai di ibu negara.

Ramly Burger

Restoran Ramly menawarkan 38 hidangan ala carte, 20 hidangan kombo dan 15 hidangan sampingan. Kesemuanya produk hasil keluaran Kumpulan Ramly.

Antara menu yang menjadi pilihan utama pengunjung adalah pelbagai jenis burger, oblong, lamb chop, croissant dan satay yang berharga antara RM8.50 hingga RM18.00.

Ramly Burger

Menurut Mohammad Fuad restoran adalah bidang perniagan yang bakal diceburi secara besar-besaran oleh Kumpulan Ramly apabila kilang memproses bernilai RM1 bilion di Taman Perindustrian Halal Hab di Pulau Indah, Klang, Selangor siap tahun depan.

“Insya-Allah kita ada perancangan untuk menambah jumlah restoran pada masa depan. Sekarang ini kapasiti pengeluaran yang ada tidak mencukupi. Tambahan kita turut membekalkan produk kepada 25,000 peniaga kecil di seluruh negara.

“Sekarang kita dalam proses membina kilang baru di Pulau Indah. Sasaran kita kilang ini akan mula beroperasi pada suku ketiga atau keempat tahun depan. Bila kilang itu beroperasi kita mempunyai cukup bekalan untuk peniaga kecil dan juga untuk restoran kita,” kata Mohammad Fuad.

Ramly BUrger

Sementara itu pelanggan yang ditemui cukup selesa dengan konsep dan menu yang yang diketengahkan oleh Restoran Ramly.

“Konsep yang ditampilkan merupakan satu kelainan kepada saya. Suasananya amat selesa untuk satu keluarga datang dan makan di sini. Apa yang lebih penting rasa burger di sini lain dari restoran makanan segera lain. Memang boleh lawan,” kata Kamarudin Abu Hassan, 51.

Ramly Burger

Bagi peminat tegar burger, Azreen Syah Haron, 28 yang datang bersama isteri, Wan Syahiiran Wan Mohamad, 26 dan anak berkata, kewujudan Restoran Ramly memberi pilihan kepada rakyat Malaysia.

“Saya sekarang ini jatuh cinta dengan burger udang di sini. Saya sudah cari di restoran makanan segera lain tapi tak jumpa burger udang seperti yang dihidangkan di sini. Harga untuk makan seisi keluarga di sini pun tak mahal,” kata Azreen.

Ramly Burger

Manakala Normah Long, 39 dan suami, Azizi Abdul Razak, 39, mengunjungi Restoran Ramly dua kali seminggu.

“Saya suka kombo Croissant di sini. Menang sesuai dengan tekak orang Melayu. Sedap. Dengan suasana yang santai serta hiasan dalaman yang selesa saya dan suami datang ke sini dua kali seminggu,” kata Normah tersenyum. - UTUSAN ONLINE

Ramly Burger