Pengasas JK1M, Kevin Zahri berkata, dia menyasarkan seramai 4,000 peserta JK1M di 200 lokasi terpilih seluruh negara tahun ini.

Menurutnya, lebih menarik lagi, tahun ini pihak penganjur akan mengadakan Pertandingan Ohlimpik antara peserta JK1M yang bakal diadakan Mac ini.

“Program selama enam minggu itu akan membantu peserta menurunkan berat badan dengan latihan yang sesuai serta memberi peluang kepada mereka mengetahui pemakanan dan senaman yang sesuai,” katanya kepada S2.

Dalam pada itu, seramai 150 orang termasuk selebriti dan media menyertai pertandingan Dodgeball Media dan Selebriti 2018 sempena program Cabaran JK1M yang diadakan di Sunway Extreme Park baru-baru ini.

Kevin berkata, pertandingan dodgeball kali ketiga itu merupakan acara wajib setiap musim untuk peserta terpilih JK1M, ketua pasukan JK1M, media, selebriti dan personaliti televisyen.

“Pertandingan itu bagi mewujudkan ukhwah sesama keluarga JK1M termasuk mengajak orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat. Selain bertanding, mereka juga berpeluang bermain dodgeball bersama selebriti terkenal.

“Antara selebriti yang terlibat ialah Scha Al-Yahya, Aishah Sinclair, Tania Hudson, Nana Al-Haleq, Liza Hanim, Arlina Banana, Taufiq Hanafi, Faizdickie, Sean Lee Jia, Mark O’Dea Neera Azizi serta Cik Puan Azrinaz Mazhar Hakim,” katanya.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran pengamal media dari TV3, Kosmo!, Utusan Malaysia dan rakan-rakan blogger.

Selain itu, program tersebut menerima tajaan dan kerjasama daripada EcoBrown’s, Fit Scarf, Medofu, Hospital Columbia Asia serta Persatuan Dodgeball Malaysia.

Jelas Kevin, pertandingan dodgeball melibatkan 15 pasukan diwakili pihak media, selebriti serta artis termasuk atlet dodgeball Malaysia serta peserta JK1M yang berjaya menurunkan berat badan.

“Kita gabungkan mereka dalam satu pasukan agar mereka berpeluang bermain dan berinteraksi dengan selebriti serta peserta JK1M yang berjaya. Apabila kita adakan aktiviti seperti ini secara tidak langsung memberi semangat mereka untuk menjaga kesihatan diri,” katanya.