Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri merangkap Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd. Yusof berkata, program yang dinamakan Projek Negara - Malaysia Explorers Grand Slam 2017 itu akan diadakan selama tujuh hari, mulai 19 Disember ini.

Menurutnya, projek itu melibatkan ekspedisi berski sejauh 120 kilometer dan akan dilakukan oleh Penjelajah Negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin yang juga Presiden KE7B.

“Insya-Allah, ekspedisi ini akan memahat nama rakyat Malaysia di pentas dunia yang mana Qobin akan menjadi rakyat Malaysia pertama memegang status Penjelajah Grand Slam.

“Malah beliau juga akan menjadi individu kedua di rantau AsiaTenggara berjaya mengukir nama sebagai Penjelajah Grand Slam,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka KE7B dan Pelancaran Projek Negara - Malaysia Explorers Grand Slam 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Setakat ini, hanya terdapat 60 individu dari seluruh dunia berjaya menamatkan misi Explorers Grand Slam.

Syarat untuk menamatkan misi tersebut bukanlah mudah iaitu seseorang mesti menamatkan pendakian tujuh puncak tertinggi di tujuh benua, berski di Kutub Utara dan berski di Kutub Selatan.

Hanya selepas ketiga-tiga syarat itu dipenuhi, baharulah seseorang individu itu akan diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam.

Akmar Hisham berkata, Qobin telah pun berjaya dalam dua misi yang merupakan antara syarat tersebut iaitu menawan tujuh puncak tertinggi dunia di tujuh benua (2004-2010) dan berski di Kutub Utara pada April 2017.

“Hanya satu lagi syarat perlu dipenuhi iaitu berski di Kutub Selatan dan beliau akan melakukannya pada Disember ini,” tambahnya.

Sementara itu, Qobin berkata, beliau akan berlepas dari Union Glacier, Antartika dengan menaiki helikopter menuju ke titik satu darjah (1 darjah) bagi memulakan ekspedisi berski ke titik kosong darjah (0 darjah) Kutub Selatan.

“Saya akan berski bersama tiga penjelajah antarabangsa lain dan diketuai oleh seorang penunjuk arah. Saya terpaksa berkongsi penunjuk arah dengan penjelajah lain bagi menjimatkan

perbelanjaan. Cara ini lebih menjimatkan berbanding bergerak secara solo,” katanya.

Mengenai cabaran yang bakal ditempuh, katanya, suhu negatif 30 darjah (-30 darjah) hingga negatif 40 darjah (-40 darjah) dan tiupan angin kencang yang sejuk adalah antara cabaran bakal dihadapi.

Tambahnya, beliau juga akan berski di laluan mendaki dan semakin tinggi kawasan didaki, beliau akan terdedah dengan risiko mendapat penyakit mabuk gunung (acute mountain sickness) dan frostbite.

“Apa pun cabaran yang datang, saya yakin dapat menamatkan misi yang digalas demi mengharumkan nama negara di pentas dunia sukan lasak dan ekstrem,” katanya.

Untuk rekod, ekspedisi ini merupakan projek antarabangsa kesembilan yang dijayakan oleh KE7B.

Antaranya ialah Ekspedisi Berbasikal dan Bermotosikal Di 21 Buah Negara, Misi Tujuh Puncak Tujuh Benua Dunia, Renangan Selat Inggeris, Everest Felda 2013, Ekspedisi Merentas Greenland serta Ekspedisi Kutub Utara.

KE7B turut berjaya melahirkan 23 ikon sukan ekstrem sejak ditubuhkan 10 tahun lalu.