Namun faktor cuaca yang tidak bersahabat menyebabkan misi tersebut gagal menemukan Ramli. Salji tebal, angin kencang dan kabus yang melanda Gunung Damavand menyukarkan usaha pencarian.

Malah, sepanjang lima hari melaksanakan misi di gunung berkenaan, empat pendaki terbabit iaitu Muhammad Illaham Ishak, 40; Mohd. Khafiz Bachok, 39 dan Azmawi Ismail, 39, termasuk penulis hanya berjaya melakukan tiga operasi pencarian di kawasan membabitkan laluan selatan antara ketinggian 4,300 dan 4,500 meter, laluan selatan antara ketinggian 4,300 dan 5,100 meter serta kawasan lembah antara permatang selatan dan permatang tenggara pada ketinggian 4,300 meter.

Walaupun usaha pencarian tidak menunjukkan sebarang petunjuk, namun beberapa gambar dan video telah dirakam untuk dianalisis.

Presiden KJA, Muhammad Illaham berkata, cuaca di Gunung Damavand sepanjang misi pencarian tidak menentu kerana masih belum memasuki musim panas sepenuhnya.

Keempat-empat pendaki berkenaan berada di Iran selama 10 hari dan sepanjang tempoh itu, selama lima hari pendaki berada di kawasan pergunungan.

Menurutnya, terdapat waktu tertentu yang membolehkan pasukannya keluar dari Kem 3 atau Kem Induk untuk melakukan operasi pencarian.

“Pencarian dilakukan di kawasan yang dicadangkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Iran terutama di permatang tenggara.

“Salji tebal, angin kencang dan berkabus menyukarkan usaha pencarian kerana pergerakan menjadi terhad dan jarak pandangan lebih pendek,” katanya kepada S2 di Mazandaran, Iran, baru-baru ini.

Dalam insiden pada 21 November 2016, Ramli, 44, dan seorang lagi pendaki, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Damavand.

Syed Redzuan bagaimanapun ditemukan meninggal dunia seminggu kemudian oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Iran di kawasan Yakhar Glacier manakala Ramli masih tidak ditemukan sehingga hari ini.

Jelas Muhammad Illaham, walaupun pencarian pasukannya tidak menemukan sebarang petunjuk mengenai Ramli, namun usaha itu sekurang-kurangnya dapat membuka mata pihak tertentu terutama Persatuan Bulan Sabit Merah Iran yang akan menggerakkan operasi SAR pada Ogos ini.

“Inilah salah satu tujuan kami datang ke sini. Kami harap Persatuan Bulan Sabit Merah Iran dapat melihat usaha yang dilakukan sendiri oleh rakyat Malaysia sekali gus menjadi pendorong kepada mereka untuk melakukan SAR dengan penuh komited,” ujarnya sambil memberitahu inisiatif misi tersebut dilakukan atas dasar persahabatan dengan Ramli walaupun beliau bukan ahli KJA.

Selain pencarian di kawasan gunung, mereka juga melakukan tinjauan di beberapa perkampungan di kaki Gunung Damavand.

Kedatangan pendaki KJA ke Iran itu menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk AirAsia X, Proton Holdings Berhad, Kedutaan Malaysia di Iran, Kedutaan Iran di Malaysia serta keluarga Ramli dan Syed Redzuan.