Selepas dua jam melewati kem Kali Putih dan Cemara Lima, kami berhenti untuk solat. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Taman Hidup.

Sekitar satu jam sebelum Maghrib, kami tiba di Taman Hidup. Tapak perkhemahan ini luas dan terdapat kawah serta pondok kecil.

Semasa makan malam, Noorhaffiz Ismail (Apis) mencadangkan kami mendaki Gunung Kelud.

Keesokannya, saya dan Merys bergerak awal kerana ada urusan peribadi.Kami tiba di Pondok Ladang selepas dua jam turun. Trek berbentuk Z, tetapi ada jalan dekat.

Saya memilih untuk menumpang motosikal petani. Dapatlah jimat 40 minit jika berjalan kaki. Jalan turun agak curam sehinggakan kami terjatuh. Nasib baik tiada kecederaan teruk.

Di Bremi, van ELF sudah siap menunggu. Sekitar dua jam kemudian, rakan-rakan lain tiba. Perjalanan diteruskan dan jauh daripada jangkaan. Rupa-rupanya tempat paling atas adalah tempat menikmati pemandangan yang bukan laluan ke puncak Gunung Kelud.

Pak Edi yang memandu bertanyakan penduduk sekitar dan alhamdulillah, kami akhirnya tiba di permulaan trek mendaki Gunung Kelud. Kami kerugian masa sekitar enam jam kerana sesat.

Tanpa berlengah, kami menaiki motosikal menuju ke pintu gerbang. Sempat juga, kami bergambar di situ. Kami ditemani anak-anak tempatan mendaki dari ketinggian 780 meter.

Perjalanan adalah menaik tetapi tidak terlalu tinggi. Di Pos 2, kami berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Pos 3 yang merupakan kawasan lapang yang panas. Saya dan Apis cuba mencari tempat redup tetapi tiada. Setelah semua pendaki tiba, kami meneruskan perjalanan. Perjalanan naik dan turun bukit dengan menggunakan tali serta trek yang berbatu.

Kami tiba di simpang pada waktu tengah hari. Simpang kiri menuju ke puncak Gajahmungkur manakala kanan ke puncak Gunung Sumbing.

Di sini terdapat panorama 360 darjah. Setelah bergambar di puncak Gajahmungkur, tiga daripada kami meneruskan pendakian ke puncak Sumbing, manakala yang lain turun ke Pos 3 untuk memasak.

Ternyata sangkaan saya tepat. Sebaik sahaja melihat trek dari kejauhan, saya anggarkan kami memerlukan 15 minit untuk sampai ke puncak. Namun puncak Gunung Kelud tidak dapat digapai kerana memerlukan peralatan teknikal, sama seperti Gunung Daik.

Selepas makan, kami turun dan tiba di pintu gerbang dalam masa sejam lebih sahaja. Apapun kenangan terindah dan kedinginan di Gunung Argopuro serta bersiar-siar di bandar Surabaya bersama Merys menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.