Lebih-lebih lagi, pengalaman melakukan aktiviti luar itu dinikmati sepenuhnya sambil menghirup udara segar, jauh dari segala hiruk-pikuk bandar.

Terletak kira-kira tujuh kilometer dari pekan Gopeng, Perak, anda berpeluang melakukan semua aktiviti lasak di Kuala Razila Adventure and Resort di Ulu Geroh.

Bukan sahaja berakit di Sungai Kampar, berkhemah dan mendaki bukit, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti water tubing, melintas sungai, treking hutan dan waterfall abseiling.

Segala-galanya terasa tenang apabila anda sampai di kawasan tersebut yang terletak di kaki Banjaran Titiwangsa selepas menempuh beberapa perkampungan Orang Asli.

Baru-baru ini, Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak turut tidak ketinggalan merasai sendiri pengalaman melakukan aktiviti lasak di situ selama dua hari satu malam, sekali gus membantu mempromosikan pelancongan negeri Perak.

Program bermula dengan aktiviti pendakian bagi menyaksikan matahari terbenam di puncak Bukit Batu Putih secara santai dengan hanya mengambil masa kira-kira 30 minit pada waktu petang.

Di atas puncak bukit tersebut, anda dapat menyaksikan panorama hijau 360 darjah sekitar kawasan Gopeng dan aktiviti ini sesuai untuk dilakukan semua peringkat umur.

Keesokan harinya, program diteruskan dengan aktiviti menuruni cerun air terjun dengan menggunakan tali (waterfall abseiling) di Air Terjun Ulu Geruntum yang berada pada ketinggian kira-kira 20 meter.

Masyarakat Orang Asli di situ lebih mengenali air terjun tersebut dengan nama Air Terjun Merkoi yang membawa erti kedamaian.

Seorang peserta program, Norhisham Mohamed Halim yang biasa menyertai aktiviti seumpama itu bersama isterinya, Nazipahnaim Mohd Haris mengakui, perasaan gayat atau gementar perlu dilawan.

Apatah lagi katanya, antara cabaran yang perlu didepani adalah kederasan air terjun dan permukaan batu yang licin.

Namun katanya, mereka yang pertama kali melakukannya, tidak perlu khuatir kerana taklimat keselamatan diberikan, sementara teknik penggunaan tali dititikberatkan oleh penganjur.

“Malahan, saya merasakan air terjun ini merupakan antara yang sesuai untuk mereka yang baru hendak bertatih mencuba aktiviti waterfall abseiling,” katanya.

Aktiviti sukan air lasak bagaimanapun tidak lengkap sekiranya tidak mencuba aktiviti berakit arus deras (whitewater rafting) dengan meredah tujuh jeram besar dan 15 jeram kecil sejauh kira-kira 15 kilometer di Sungai Kampar, bermula dari perkampungan Ulu Geroh sehingga ke Kampung Jahang.

Biarpun telah empat kali mencubanya sebelum ini, Norhisham mengakui, ia tetap memberikan cabaran dan pengalaman berbeza, malahan debaran sebelum melakukan akvititi itu tidak boleh dinafikan.

Namun katanya, kekuatan fizikal dan kerjasama rakan-rakan dalam satu rakit getah perlu untuk memastikan rakit getah yang dinaiki dapat bergerak dengan lancar.

“Bagi saya, aktiviti ini dapat mengajar kita bagaimana untuk mengawal perasaan panik sekiranya bot terbalik atau tercampak ke dalam sungai.

“Tahap kesukarannya juga boleh berubah iaitu daripada peringkat santai sehinggalah ekstrem mengikut kederasan arus serta perubahan aras sungai. Oleh itu, aspek keselamatan amat penting.

“Apapun yang penting, jangan biarkan perasaan takut itu mengganggu keseronokan anda sepanjang menyertai aktiviti tersebut,” katanya.

Selain aktiviti lasak, Kuala Razila Adventure and Resort turut menawarkan pakej hari keluarga, majlis pertemuan semula (reunion) dan team building.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web www.kualarazilaadventureandresort.com atau laman Facebook Razila Adventure And Resort.