Sepanjang pemanduan selepas keluar dari lebuh raya, anda akan mula memasuki kawasan perkampungan iaitu pinggir pekan Jasin dan seterusnya tiba di Kampung Chinchin iaitu sempadan antara selatan Melaka dan Tangkak, Johor.

Taman Ekstrem Tasik Chinchin mula dibuka pada Mac 2016 di atas tanah seluas kira-kira 30 hektar dan sewaktu mula diwujudkan, ia lebih kepada lokasi penginapan resort yang disediakan untuk tetamu.

Menurut Penolong Pengurus resort itu, Mohd. Rozi Abu Samah, disebabkan jaraknya yang agak jauh dari pusat bandar, resort itu mulanya dijadikan lokasi pelbagai jenis aktiviti lasak dan program jati diri membabitkan pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan mahupun korporat.

“Setiap bulan taman ekstrem ini menerima kunjungan sekurang-kurangnya dua kursus bina semangat dan kem jati diri di mana tarikan utama yang membuatkan destinasi ini dipilih adalah kemudahan serba lengkap dan kedudukannya yang jauh dari kesibukan bandar.

“Dianggarkan sejak mula dibuka pada 2016, kami menerima lebih daripada 20,000 orang pengunjung termasuk peserta program aktiviti lasak, kem bina semangat dan mereka yang menginap di resort,” katanya ketika ditemui S2 di resort berkenaan baru-baru ini.

Dengan memiliki 13 orang kakitangan, Taman Ekstrem Tasik Chinchin menyediakan pelbagai kemudahan untuk program aktiviti lasak antaranya ‘water rafting’, ‘night walk’, ‘survival’, ‘combat obstacle’, ‘crazy compass’, ‘high element’, ‘wall climbing’ dan ‘abseiling’.

Selain menyediakan aktiviti untuk berkumpulan, taman ekstrem itu turut mempunyai taman tema air yang mengenakan bayaran RM5 untuk kanak-kanak berusia antara 3 hingga 12 tahun manakala bagi dewasa, bayaran sebanyak RM10 dikenakan.

Selain itu, terdapat juga ‘flying fox’, kayak dan memanah disediakan di mana setiap satu daripada aktiviti itu dikenakan bayaran tertentu antara RM5 hingga RM15.

Menurut Mohd. Rozi, taman tema air, aktiviti ‘flying fox’ yang sepanjang kira-kira 180 meter dan merentas tasik, kayak dan memanah disediakan kepada pengunjung individu termasuk berkeluarga.

“Pihak kami juga mempunyai 20 unit calet iaitu 10 unit calet dua bilik, lapan unit calet empat bilik dan dua unit calet VIP untuk kemudahan para pengunjung,” katanya sambil memberitahu harga yang dikenakan untuk setiap bilik calet itu adalah berpatutan.

Bagi mereka yang datang berkumpulan, pihak resort turut menyediakan empat unit dorm yang setiap satunya mampu memuatkan 28 orang penghuni dalam satu-satu masa. Bayaran yang dikenakan hanya sebanyak RM30 seorang untuk satu malam.

Ketika ini, Taman Ekstrem Tasik Chinchin menawarkan promosi untuk mengadakan aktiviti lasak dan jati diri kepada lebih 50 orang peserta berkumpulan dengan hanya bayaran sebanyak RM100 seorang.

“Pakej yang disediakan adalah penginapan dalam khemah selama tiga hari dua malam dan enam kali makan dan minum setiap hari. Sepanjang program itu, kami menyediakan program night walk, flying fox, water rafting dan aktiviti berkhemah kepada para peserta di mana tenaga pengajar disediakan,” katanya.

Pendek kata, segala kemudahan yang terdapat di taman ekstrem ini boleh dikatakan lengkap termasuk kemudahan surau, dewan serba guna dan kafetaria untuk pengunjung.

Mereka yang berminat untuk mengadakan program di taman ekstrem ini atau kepada keluarga yang ingin bercuti mencari kedamaian boleh menghubungi talian 06-5246080 atau menghubungi talian 012-3848545, 019-6826548 atau 017-6159217.