Selepas Nuang, program diteruskan ke Gunung Berembun, Negeri Sembilan dan Gunung Rajah, Pahang. Program terbaharu adalah menakluk Puncak Mahligai Gunung Ledang, Johor pada 17 dan 18 Mac 2018. Setiap kali ekspedisi diwar-warkan, jumlah peserta yang memohon adalah terlalu ramai, sehinggakan pihak penganjur mengehadkan penyertaan sekitar 60 orang sahaja.

Pengurus Jualan & Pemasaran Dewina Trading Sdn.Bhd, Mohamad Fazil Othman, berkata, biasanya, beberapa peserta akan menarik diri pada saat akhir.

“Misalnya, kami telah buat permit mendaki Gunung Ledang untuk 60 orang, tetapi yang datang 52 orang,” katanya kepada S2.

Mengikut program asal, siri ekspedisi mendaki bersama Brahim’s yang akan berakhir pada Oktober ini hanya melibatkan empat puncak iaitu Nuang, Ledang, Bujang Melaka dan Rinjani.

“Tetapi dalam tempoh empat bulan ini, sebanyak empat gunung telah ditawan iaitu Nuang, Berembun, Rajah dan Ledang. Program mendaki Berembun dan Rajah tidak ada dalam senarai, tetapi kami anjurkan juga kerana ada permintaan ramai,” ujarnya.

Tambahnya, setiap peserta dibekalkan All Day Adventure Pack Beef Set dan One Meal Adventure Pack, selain mess tin, beg galas dan buff,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Fairuz Hamzah, 42, dari hiking.MY, berkata, sebanyak 45 daripada 52 peserta berjaya menjejakkan kaki ke puncak Ledang di ketinggian 1,276 meter dari paras laut.

Menurutnya, kumpulan terawal tiba di puncak pada pukul 6 petang dan tiba semula di tapak perkhemahan Kem Rotan pada pukul 10 malam.

Katanya, mereka mendaki mengikut laluan Simpang Pendita dan Kem Senget yang lebih dekat berbanding laluan KFC yang lebih panjang dan sukar.

“Walaupun peserta terpaksa berjalan turun pada waktu malam, namun aspek keselamatan yang diutamakan menjadikan pergerakan setiap peserta lancar,” katanya sambil memberitahu, keesokan paginya, mereka ke air terjun Twin Fall untuk mandi-manda.