Puncak di ketinggian 1,493 meter menyaksikan empat pendaki daripada 50 pendaki yang menyertai program tersebut mengibarkan bendera Brahim’s pada pukul 4 petang, 11 November 2017.

Pengurus Pemasaran dan Jualan Brahim’s, Mohd Fadzil Othman berkata, pendaki terdiri daripada ahli Pacat Trekker’s, Hiking.MY, sms_extreme serta kakitangan Brahim’s.

Menurutnya, pendakian bermula pada pukul 9.30 pagi dan dua jam kemudian, mereka tiba di Kem Lolo untuk makan tengah hari iaitu nasi putih dengan daging masak hitam Brahim’s. Selepas itu, mereka meneruskan pendakian ke Kem Pacat. Namun disebabkan hujan semakin lebat, hanya empat pendaki meneruskan pendakian ke puncak.

“Pendaki lain diarahkan turun semula ke Kem Lolo. Kami bermalam di sini bagi meneruskan program membersihkan tapak perkhemahan, keesokan hari,” katanya kepada S2.

Mohd Fadzil berkata, empat pendaki yang gigih meneruskan cabaran berjaya menjejakkan kaki di puncak Nuang pada pukul 4 petang dan selepas menikmati nasi goreng kampung Brahim’s, mereka memulakan perjalanan turun dalam hujan lebat.

“Kesemua pendaki selamat tiba di Kem Lolo pada pukul 7.30 malam,” tambahnya.

Pelepasan peserta disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi di pintu gerbang Hutan Lipur Gunung Nuang. Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Brahim’s Dewina, Nur Fatin Ibrahim.

Xpedisi Pendakian Gunung Bersama Brahim’s ini mengandungi empat siri pendakian iaitu Gunung Nuang (11-12 November 2017), Gunung Ledang, Johor (3-4 Mac 2018), Gunung Bujang, Perak (5-7 Mei 2018) dan Gunung Rinjani, Indonesia (25-29 Oktober 2018).

Dalam majlis itu juga, Brahim’s melancarkan pek kembara iaitu makanan khusus untuk pendaki yang mana setiap set mengandungi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Harga satu pek adalah RM32 dan boleh dibeli di Brahim’s Shoppe, Bandar Baru Bangi.

Seorang pendaki, Muhammad Syukri Rahim, 23, berkata, walaupun beliau pernah mendaki Gunung Nuang beberapa kali, namun pendakian kali ini lebih mencabar kerana hujan lebat.

“Saya pernah naik gunung ini sebanyak enam kali, tetapi pendakian kali ini lebih mencabar. Hujan lebat menyebabkan trek licin dan berlumpur. Sungguhpun begitu, saya tidak putus asa dan bertekad untuk mengibarkan bendera Brahim’s di puncak,” katanya.

Pendaki lain, Soffiuddin Esa, 23, pula berkata, ini kali pertama beliau mendaki ke puncak Nuang dan terpaksa berhadapan dengan cuaca buruk.

“Kabus tebal mengehadkan jarak penglihatan dan saya perlu berhati-hati mengatur langkah supaya tidak tersasar. Apa yang mendorong saya adalah semangat setiakawan yang saling membantu,” katanya mewakili Keramat Outdoor Adventure.

Mohd Taofiq Salehudin, 30, yang juga pertama kali mendaki Gunung Nuang memberitahu, pendakian ke puncak memberikan pengalaman baharu kepadanya. Malah, beliau sanggup menanggung risiko demi merealisasikan hasrat penganjur untuk mengibarkan bendera Brahim’s di puncak.

“Di Kem Pacat, lima daripada kami meneruskan pendakian, namun seorang pendaki berpatah balik ketika menghampiri Pengasih. Jadi, tinggal kami berempat meneruskan perjuangan ke puncak,” katanya.

Sementara itu, pemandu arah, Khairulnizam Tawal, 39, berkata, apabila cuaca buruk dan ramai terpaksa berpatah balik, beliau tekad membawa empat pendaki yang masih cergas untuk ke puncak.

“Saya paksa mereka jalan, walaupun ada yang sudah tidak larat. Saya naikkan semangat mereka dengan memberitahu puncak dah dekat, tetapi sebenarnya masih jauh. Itu cuma kata-kata dorongan bagi memberi sokongan moral kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, ekspedisi ini turut menyelitkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Brahim’s iaitu gotong royong membersihkan Kem Lolo daripada sampah yang ditinggalkan pendaki tidak bertanggungjawab. Kesemua sampah dibawa turun ke kaki gunung.

Ekspedisi akan datang adalah mendaki Gunung Ledang pada Mac 2018. Sila like Facebook Brahim’s untuk maklumat lanjut.