Kelebihan yang ada terutama daripada segi lokasi yang dikelilingi flora dan fauna serta kawasan pergunungan dan air terjun yang menjadi tumpuan peminat rekreasi dari seluruh negara di Tanjung Malim, Perak telah membuka peluang kepada UPSI untuk memperkenalkan kemudahan terkini dalam sukan serta aktiviti lasak kepada orang ramai termasuk syarikat korporat, swasta atau agensi di negara ini.

Apa yang lebih membanggakan, kemudahan yang disediakan di UPSI Adventure Park itu berjaya menjadikannya sebagai satu-satunya universiti di Asia yang mempunyai pusat aktiviti sukan lasak pertama di rantau ini.

Wartawan Utusan Malaysia yang berpeluang mencuba pelbagai aktiviti lasak di UPSI Adventure Park baru-baru ini mendapati rata-rata kakitangan universiti begitu mesra serta bekerjasama dalam membangunkan tempat berkenaan.

Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Dr. Asmadi Ishak, berkata, kemudahan tersebut sentiasa terbuka semua pihak termasuk syarikat korporat untuk menjalankan aktiviti perkhemahan, kem motivasi atau riadah.

Katanya, UPSI menyediakan pelbagai kemudahan yang disewakan pada harga berpatutan dengan kelengkapan dan alatan seperti tapak perkhemahan, flying fox, abseiling, high elements dan wall climbing yang dibina dengan teknologi terkini.

“UPSI Adventure Park siap dibina pada 2017. Kita berjaya menjadi universiti awam pertama di Asia yang mempunyai taman rekreasi dengan kemudahan yang lengkap.

“Apa yang menarik adalah ia juga merupakan taman rekreasi pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi ‘zip stop’ bagi operasi aktiviti flying fox. Dengan teknologi itu, sistem mekanikal yang digunakan dapat membantu menghentikan peserta tanpa kawalan jurulatih dengan selamat,” katanya kepada S2.

Tambah Dr. Asmadi, semua kemudahan tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM800, 000. Ia dilengkapi dengan ciri keselamatan tinggi, menggunakan teknologi termoden buatan Perancis dan merupakan idea asal Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Md Amin Md. Taff.

“UPSI Adventure Park boleh menampung sehingga 200 orang dalam satu-satu masa dan kita mahu menjadikan ia sebagai salah sebuah pusat rekreasi terbaik dan terkenal di negara ini.

“Tambahan pula, kami menyediakan pakej yang sangat berpatutan mengikut kemahuan atau objektif pengguna. Apa yang penting adalah keselamatan dan kemudahan disediakan serta perkhidmatan memuaskan daripada kami,” jelasnya.

Penggemar aktiviti lasak bakal disajikan dengan 13 aktiviti santai mahupun mencabar seperti high elements (aktiviti tali tinggi enam meter dan tiga meter), wall climbing, speed climb, abseiling, flying fox, merentas halangan, berkhemah, jelajah hutan, treking ke air terjun dan gunung, kayak dan basikal lasak.

Dalam perkembangan lain, Dr. Asmadi mengalu-alukan pihak korporat atau institusi pendidikan lain untuk mengadakan aktiviti di UPSI Adventure Park.

“Kami juga akan mengadakan aktiviti berbentuk larian berhalangan ala tentera pada November ini dengan kemudahan sedia ada.

“Yang pasti, pengunjung akan berpuas hati terutama individu yang gemarkan aktiviti lasak yang menguji kekuatan mental serta fizikal,” ujarnya.

UPSI Adventure Park

Kampus Sultan Azlan Shah

Universiti Pendidikan 
Sultan Idris 35900 Tanjung Malim, Perak.

Telefon: +6015-48797700