Mereka ialah Zainudin Lot, 42; Muhammad Illaham Ishak, 42; Ayob Yahaya, 55; Dr. Zambri Jamingan, 50, dan Dr. Mohazmi Mohamed, 50.

Gunung berketinggian 4,884 meter itu merupakan gunung tertinggi di Indonesia dan tertinggi di benua Oceania (Australasia).

Dikenali sebagai Puncak Jaya dalam kalangan penduduk tempatan, gunung tersebut tersenarai sebagai salah satu daripada tujuh puncak tertinggi di tujuh benua (Seven Summits - Messner List) yang menjadi buruan pendaki seluruh dunia.

Muhammad Illaham (Pak Am) yang juga Presiden KJA-M, berkata, cabaran mendaki CP sangat berbeza berbanding gunung lain yang pernah didakinya.

Katanya, hampir keseluruhan pendakian memerlukan kemahiran teknikal iaitu penggunaan tali dan alat mendaki yang sesuai.

Menurutnya, pendakian dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu paras 4,100 hingga 4,300 meter; paras 4,300 hingga 4,600 meter dan paras 4,600 hingga 4,884 meter.

Pendakian seksyen pertama memerlukan pendaki menempuh laluan dinding tegak hampir 90 darjah. Justeru, peralatan teknikal seperti jumar digunakan bagi melepasi kawasan rekahan batu.

“Pemandu arah (guide) ada beritahu bahawa pendakian ini paling sukar dan kalau berjaya melepasinya, insya-Allah pendaki mampu sampai ke puncak.

“Guide juga beritahu ada pendaki berpatah balik. Risiko mendaki di seksyen ini adalah batu dan pasir kerap terjatuh dan disebabkan itu, setiap pendaki wajib memakai helmet. Kalau terkena muka, pasti ke hospital dan berakhirlah misi mendaki,” katanya kepada S2 menerusi aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

Beliau yang merupakan Jurutera Komunikasi Celcom berkata, pendakian seksyen kedua masih tegak dan ketika berada di kawasan ini, seorang pendaki, Dr. Mohazmi kehilangan tenaga akibat AMS (Acute Mountain Sickness) iaitu satu keadaan kandungan oksigen di udara semakin menipis,” tambahnya.

Sungguhpun begitu, katanya, pendakian diteruskan dengan mengutamakan aspek keselamatan.

“Cabaran mendaki di seksyen ketiga adalah melepasi tiga jurang berbahaya. Jurang 1 memerlukan pendaki melakukan tyrolean atau tribridge sejauh 50 meter. Jurang 2 memerlukan pendaki melakukan pergerakan monkey cross sejauh lima meter dan

“Jurang 3 menyaksikan pendaki melakukan jump and juma sejauh 10 meter,” katanya yang memberitahu kesemua cabaran itu memberikan pengalaman paling tidak dilupakan dalam hidupnya.

Pak Am memberitahu ketika beliau berjaya melintasi ketiga-tiga jurang itu, beliau terserempak dengan dua pendaki iaitu Dr. Zambri dan Ayob yang telah berjaya ke puncak dan dalam perjalanan turun.

“Saya sampai ke puncak pada pukul 12.00 waktu Papua dan terus mengibarkan Jalur Gemilang,” ujarnya. Setakat hari ini, tidak sampai 10 pendaki Malaysia berjaya sampai ke puncak CP.

Di puncak, Pak Am sempat mengibarkan bendera Celcom sempena ulang tahun ke-30 syarikat itu.

Dalam pada itu, ketua ekspedisi, Zainudin berkata, walaupun ada antara mereka mengalami masalah kesihatan seperti AMS, namun semangat juang yang tinggi telah membolehkan kesemua pendaki mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi di benua Oceania itu.

Menurutnya, kesemua pendaki tiba di puncak pada 30 Jun lalu antara pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari selepas mengharungi pendakian penuh mencabar selama kira-kira lapan jam dari kem induk Yellow Valley.

Pendakian CP merupakan misi keenam Pak Am dan Zainudin yang juga Penasihat KJA-M dalam menyempurnakan cabaran pendakian Seven Summits.

Kedua-dua pendaki negara sebelum ini telah menawan Gunung Everest yang merupakan gunung tertinggi di dunia dan benua Asia, Gunung Kilimanjaro (Afrika), Gunung Elbrus (Eropah), Gunung Kosciuszko (Australia) dan Gunung Aconcagua (Amerika Selatan).

Pendakian berikutnya adalah Gunung Vinson Massive yang akan diadakan pada 2020.