Menyedari perlunya mendedahkan pelajar dengan aktiviti luar bagi menyiapkan diri menghadapi cabaran dunia pengajian tinggi dan kerjaya, Kolej Yayasan Saad (KYS) Melaka aktif mengadakan pelbagai program termasuk Anugerah Remaja Perdana (ARP) Pingat Gangsa, Perak dan Emas.

Guru pengiring, Muhammad Azim Izzuddin Mohd Amin, 27, berkata, setiap tahun pihak kolej mengadakan ARP pingat gangsa yang melibatkan pelajar tingkatan dua, pingat perak (pelajar tingkatan empat) dan pingat emas (pelajar tingkatan lima, selepas peperiksaan SPM).

Antara lain ia bertujuan menggalakkan pelajar aktif dalam kemasyarakatan, selain membuka peluang kepada pelajar menyertai aktiviti sukarelawan di luar negara.

Katanya, Riverstone Eco Resort (Riverstone) dekat Ulu Yam dipilih sebagai lokasi pelaksanaan ARP pingat perak tahun ini kerana kawasan resort itu mempunyai tapak perkhemahan, sungai dan hutan yang boleh dijelajahi.

“Sebelum ini, kolej mengadakan program ARP di Bukit Broga,” katanya kepada S2.

Pada tahun ini, sebanyak 129 pelajar dan 10 guru pengiring terlibat menjayakan program ARP di Riverstone. Program tiga hari dua malam itu berakhir pada Ahad lalu. Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan empat yang akan dianugerahkan pingat perak selepas program berakhir.

Mengulas lanjut, Muhammad Azim berkata, pelajar yang meraih pingat emas berpeluang mengikuti program peringkat antarabangsa.

“Pelajar akan ditempatkan di negara pilihan selama seminggu untuk melakukan kerja-kerja kesukarelawan dan khidmat masyarakat.

“Antara negara yang terlibat adalah Vietnam, Korea Selatan, Indonesia, New Zealand dan Australia,” ujarnya.

Sementara itu, kem komandan, Nor Azzuhri Nor Azman, 16, dari tingkatan empat Amanah, berkata, beliau dipilih untuk menggalas tanggungjawab itu sejak tingkatan dua.

Katanya, pelajar yang menerima pingat gangsa berpeluang memilih kem komandan menerusi undian dan sebanyak lima pelajar dicalonkan untuk merebut jawatan tersebut.

“Alhamdulillah, saya menerima undi tertinggi, sekali gus dinobatkan sebagai kem komandan bagi program eksplorasi dan penjelajahan di bawah ARP,” katanya.

Mengulas mengenai program ARP di Riverstone, katanya, pelajar menginap di dalam khemah bagi memberi peluang kepada mereka untuk merasai kehidupan ringkas di hutan.

Katanya, apa yang mengujakan adalah mereka diajar oleh jurulatih mengenai cara-cara memasak menggunakan buluh dan kayu api.

“Kami dipecahkan kepada 10 kumpulan. Kami mendaki dan menjelajah hutan selama satu jam untuk sampai ke tapak aktiviti. Di tapak yang terletak di tepi sebatang sungai, setiap kumpulan perlu menyelesaikan tugasan yang diberi iaitu memasak nasi, air dan ayam.

“Memang mencabar kerana dalam perjalanan ke tapak aktiviti, kami ditimpa hujan. Ini menyebabkan kayu basah dan sukar menyalakan api. Namun, hasil kerjasama sepasukan, kami berjaya menyiapkan tugasan yang diberi,” katanya.

Beliau berharap dapat meraih pingat emas kerana mahu merebut peluang melibatkan diri dalam khidmat masyarakat di luar negara yang mana negara pilihannya adalah Australia.

Penolongnya, Nor Syafinaz Mohd Sharif, 16, dari tingkatan empat Ikhlas pula berkata, beliau banyak belajar daripada guru pengiring yang pernah mengikuti program ini di Riverstone.

“Saya semak fail dan dokumen tahun lalu. Dari situ, saya jadikan ia sebagai panduan untuk menggalas tugas sebagai penolong kem komandan,” katanya.

Menariknya kali ini, setiap kumpulan memakai baju t yang sama, berbeza dengan penganjuran tahun lalu yang menyaksikan peserta bebas memakai baju t pilihan masing-masing.

Katanya, baju t yang sama memudahkan setiap peserta mengenali anggota kumpulan masing-masing, selain mahu kelihatan lebih seragam.

“Ada kumpulan yang memakai baju t mengikut rumah sukan masing-masing dan ada yang menyarung baju t daripada penyertaan dalam aktiviti kokurikulum,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyimpan impian untuk memperoleh pingat emas bagi melayakkannya dipilih sebagai peserta peringkat antarabangsa.

“Saya teringin ke New Zealand yang terkenal dengan pemandangan indah. Jadi, sambil menjayakan program khidmat masyarakat, dapatlah saya ‘makan angin’ di negara itu,” tambahnya.