Selesai solat subuh, kami menikmati sarapan di restoran berhampiran sambil berkenalan sesama sendiri. Kebanyakan kami tidak pernah bersua muka, hanya berborak melalui aplikasi WhatsApp sahaja.

Ketua konvoi, Reduan Zainal Abidin, 40, berkata, perkhemahan di Hutan Simpan Telemong di Karak, Pahang itu adalah aktiviti pertama TCM pada tahun ini.

Menurutnya, ahli kelab yang menyertainya datang dari Kedah, Johor, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur.

Aktiviti itu, katanya bertujuan merapatkan silaturahim ahli, mengenali kemampuan diri dan jentera pacuan empat roda (4x4) dalam menghadapi laluan sukar serta memahami teknik pemanduan lasak daripada senior berpengalaman.

Mengulas perjalanan aktiviti, katanya, selepas sarapan, konvoi bergerak ke Kampung Sungai Perdak sejauh 13 kilometer (km) melalui jalan kampung. Kemudian konvoi menempuh laluan off road sejauh 12 km dengan melalui trek tidak rata, berbukit tinggi, curam, berlubang, senget dan berlopak.

Sungguhpun begitu, Reduan berkata, laluan agak mudah kerana trek kering.

Menerusi walkie talkie, arahan diberi oleh Kamaruddin Osman,61, dari Malaysian4wheelers. Dalam konvoi ini, beliau bertindak sebagai leadcar. Arahan ini memudahkan ahli di belakang mendapatkan gambaran tentang laluan yang bakal dihadapi.

Kamaruddin juga memberi penerangan tentang cara pemanduan melalui trek tanah yang tidak rata bagi membantu peserta baru, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka.

Sesekali ada yang menyampuk dengan gurau senda dan ternyata perhubungan dua hala ini amat membantu dan memudahkan peserta berhubung sesama sendiri, selain ‘memeriahkan’ suasana.

Beberapa kali konvoi terhenti kerana menunggu giliran untuk mendaki trek yang tidak rata. Lopak kecil dan longkang yang terbentuk akibat aliran air hujan melambatkan perjalanan. Dengan jarak 25 kilometer itu, kami mengambil masa hampir satu jam untuk tiba di kawasan perkhemahan di tepi Sungai Perdak yang berjeram.

Kawasan perkhemahan luas dan bersih. Peserta mula memasang khemah utama secara gotong royong dan menyediakan tempat memasak. Pada petang tersebut, sebahagian daripada kami mula menyiapkan peralatan memancing sambil berkongsi tip memancing.

Keesokannya, pada pagi 14 April 2018, Pak Ngah bersiap dengan jenteranya di kawasan lapang di tepi sungai. Hanya 4x4 milik beliau sahaja telah melalui proses modifikasi yang radikal. Justeru, masing-masing memberi tumpuan terhadap sesi penerangan dan tip pemanduan lasak yang disampaikannya.

Antara yang disampaikan adalah pengubahsuaian sistem suspensi, meninggikan coil spring (spring lift), meninggikan kabin (body lift) bumper besi hadapan dan belakang, winch, ubah suai axles dan penggunaan tayar35in.

Dibantu oleh Joe dan Pak Man, beliau turut berkongsi tip pemanduan off road, teknikal, modifikasi dan menggunakan farmjack untuk menaikkan jentera, selain penggunaan winch untuk menarik jentera.

Pak Ngah turut memberi peluang kepada peserta mempraktikkan pemanduan lasak di trek berdekatan. Di situ, peserta perlu melepasi kawasan selut yang luas dan mendaki tebing sungai yang curam.

Hari berikutnya pada 15 April 2018, selepas sarapan, kesemua peserta mula mengemas peralatan perkhemahan untuk memulakan perjalanan keluar.