Seramai 12 pendaki mewakili Biro Tatanegara (BTN) Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya dan ahli Kelab Sahabat Patriotik Melaka menjayakan Program Kembara 60 Jalur Gemilang di puncak Gunung Tahan.

Ekspedisi selama enam hari itu cukup mencabar. Sembilan peserta lelaki dan tiga wanita berjaya mengibarkan 60 helai Jalur Gemilang di puncak setinggi 2,187 meter itu bagi mengisi kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan 2017 dan Hari Malaysia 16 September.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah BTN Melaka, Zulkefli Saref di Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Sungai Relau, Merapoh, Pahang.

Program itu dibantu lima pemandu pelancong dari SGi Outdoor Merapoh dan ORL Ventures, manakala penajaan peralatan pendakian oleh Decathlon Malaysia.

Peserta turut diberi taklimat berhubung fungsi Taman Negara Sungai Relau, bentuk muka bumi serta flora dan fauna di Taman Negara Pahang. Selepas taklimat, peserta menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke Kuala Juram.

Bermula 6 September 2017, cabaran pun bermula. Peserta menggalas beg masing-masing seberat antara 15 hingga 20 kilogram menuju ke tapak perkhemahan Kuala Kor sejauh 12 kilometer (km) pada pukul 11.30 pagi.

Pendakian memakan masa sekitar lima jam dengan meredah hutan dan menyeberang sungai. Laluan agak landai dan memadai untuk dijadikan ‘pemanas badan’ sebelum memulakan pendakian hari kedua yang lebih mencabar.

Keesokannya pada 7 September, cuaca cukup baik pada sebelah pagi tetapi hujan lebat pada waktu petang. Beberapa pendaki mengalami kecederaan ringan dan cuaca sejuk memaksa pendaki bermalam di Kem Bonsai.

Tarikh 8 September menyaksikan cuaca baik sepanjang hari. Pendakian diteruskan sambil menikmati pemandangan indah pokok bonsai di sepanjang laluan ke puncak. Puncak Tahan berjaya ditakluk pada pukul 4 petang.

Pada awal pagi 9 September, kesemua 60 helai Jalur Gemilang siap dijahit dan dikibarkan di puncak gunung tertinggi di Semenanjung ini. Bacaan doa dan sesi fotografi menyempurnakan ekspedisi. Selepas itu, peserta mula bergerak turun untuk bermalam di Kem Belumut.

Keesokannya pada pukul 10 pagi, peserta memulakan perjalanan menuju ke kaki gunung tetapi terpaksa bermalam di Kem Kuala Luis berikutan hujan lebat dan air sungai yang naik menyukarkan peserta menyeberangi.

Tarikh 11 September merupakan hari terakhir ekspedisi. Kesemua pendaki berjaya menamatkan misi di lokasi terakhir di Santuari Kelah Kuala Juram pada pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Ekspedisi yang juga Penolong Pengarah BTN Melaka, Saiful Adri Wizi berkata, tujuan program itu adalah untuk mengibarkan 60 helai Jalur Gemilang di puncak Gunung Tahan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.

“Gunung Tahan dipilih bagi menterjemahkan nilai patriotik dan kebanggaan peserta sebagai rakyat negara ini,” katanya.

Menurutnya, pendakian berdepan dengan cuaca sejuk, hujan lebat, trek licin, dan meredah air sungai yang dalam.

Kesemua itu, katanya, mampu membentuk semangat kerjasama dan tolong menolong dalam kalangan peserta.

Pendaki dari BTN Putrajaya, Siti Huwaina Abas, 30, berkata, program itu memberi peluang kepadanya untuk menimba pengalaman baharu dalam dunia aktiviti lasak dan rekreasi.

“Saya bangga dapat membantu rakan sepasukan menjahit dan menyediakan 60 helai Jalur Gemilang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Syukri Jali, 40, berkata, program itu memberi impak yang sangat berguna kepada pendaki kerana pendaki memperoleh pengetahuan baharu dan pengalaman berharga sebagai persediaan mendaki gunung lain.