Bagi pengemar aktiviti berbasikal, Janda Baik pastinya memberikan kepuasan kerana kawasan itu menyajikan keindahan alam semula jadi yang tidak tercemar, selain menawarkan cabaran menempuh denai di kawasan berbukit.

Seorang penggemar aktiviti berbasikal, Mohd. Faiz Abdul Rashid berkata, aktiviti berbasikal di kawasan Janda Baik memberikan kepuasan dan cabaran tersendiri.

Katanya, laluan berbukit-bukau menguji kemampuan penggemar aktiviti berbasikal di kawasan itu, selain trek basikal yang mencabar.

“Walaupun penat mendaki dan menuruni bukit, ia berbaloi kerana dapat melihat pemandangan alam semula jadi yang menarik termasuk menikmati udara segar di kawasan Janda Baik ini.

“Lokasi ini menjadi destinasi berbasikal saya yang tetap pada setiap minggu selepas penat bekerja,” katanya ketika ditemui S2 selepas menjayakan aktiviti berbasikal anjuran Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu (JCMB) di kawasan tersebut, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi JCMB Bentong, Datuk Jasvir Singh Ram Singh berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihaknya sentiasa memberikan sokongan terhadap aktiviti berbasikal di Janda Baik.

Katanya, aktiviti berbasikal beramai-ramai di kawasan itu dapat mengeratkan lagi silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Sambutan daripada masyarakat pada setiap kali penganjuran program berbasikal amat baik dan kita akan terus menjalinkan kerjasama dalam menghidupkan aktiviti berkenaan di Janda Baik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad berkata, pihaknya akan menjadikan kawasan Janda Baik sebagai salah satu kawasan aktiviti berbasikal di daerah ini.

Ujarnya, kawasan berkenaan dikenal pasti antara lima kawasan berbasikal yang akan menjadi produk pelancongan Bentong dalam memberikan udara segar kepada pengunjung.