Menurut penyelaras pertandingan, Krisnam Louis Sebod, pertandingan berkenaan akan diadakan di Sungai Semadang di Kampung Semadang, Jalan Punca Borneo, kira-kira 40 kilometer dari bandar raya ini.

Katanya, hadiah akan diberi untuk tiga kategori, iaitu kategori tangkapan terpantas, kategori ikan terbesar dan tangkapan terbanyak (berdasarkan jumlah berat ikan keseluruhan).

Beliau berkata, pemenang kategori tangkapan terpantas akan menerima wang tunai RM100 dan trofi, manakala pemenang kategori ikan paling berat akan pulang dengan hadiah wang tunai RM100 dan trofi.

“Johan kategori tangkapan terbanyak pula akan pulang dengan hadiah wang tunai RM500 bersama sebuah trofi, naib johan menerima RM300 dan sebuah trofi, manakala pemenang tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM200 dan sebuah trofi.

“Selain itu, pihak penganjur turut menyediakan tujuh hadiah saguhati yang masing-masingnya bernilai RM50,” kata Krisnam di sini hari ini.

Beliau berkata, yuran pendaftaran ditetapkan sebanyak RM20 untuk satu joran dua mata kail dan pembayaran adalah secara tunai.

Ujarnya, penggunaan ‘triple hook’ (mata tiga) tidak dibenarkan sama sekali.

Tambahnya, penggunaan umpan adalah bebas, manakala ikan yang dinaikkan atau dipancing mestilah hidup, segar dan diserahkan ke meja hakim pertandingan untuk pengesahan dan timbangkan.

“Ikan yang dinaikkan hendaklah ‘bolt’ iaitu hanya mata kail di dalam mulut dikira.

“Peserta yang tidak mematuhi peraturan secara automatik dikira terkeluar daripada pertandingan dan yuran penyertaan tidak akan dikembalikan,” katanya.

Krisnam berkata, peserta dibenarkan membawa pulang ikan yang diperoleh atau melepaskannya ke dalam sungai selepas selesai proses menimbang.

Katanya, pendaftaran peserta akan bermula seawal pukul 7 pagi di dewan serbaguna Kampung Semadang sehingga pukul 9 pagi, manakala pertandingan akan bermula tepat pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 1 petang.

Menurutnya, pendafataran lebih awal daripada tarikh berkenaan adalah digalakkan dan sebarang pertanyaan boleh menghubunginya di talian 010–9666416.

Aktiviti lain yang turut dilangsungkan sepanjang tiga hari festival itu, yang bermula dari 31 Ogos hingga 2 September adalah pertandingan tarian tradisional dan permainan alat muzik tradisional, pertandingan ratu cantik Miss Tagang Semadang, pertandingan memasak, perlumbaan berkayak, bola sepak jalanan, muzik dan tarian, pameran serta bazar makanan. - UTUSAN ONLINE