Namun ramai pendaki kini cuba menonjolkan diri dengan melakukan sesuatu yang berbahaya demi mendapat pujian di media sosial, dengan harapan pengalaman yang dikongsi itu meraih jumlah like terbanyak.

Apa yang dikesali, perkongsian itu seolah-olah menggalakkan pendaki lain mengikut jejak mereka. Dalam pada itu, mereka terlupa bahawa ada kenalan Facebook mereka pernah menjejakkan kaki di puncak yang sama.

Tentu sahaja rakan pendaki yang pernah sampai ke puncak gunung itu berasa ragu kerana terdapat fakta yang tidak tepat mengenai laluan dan persekitaran puncak yang berjaya ‘ditawan’ itu.

Sebagai pendaki yang pernah melakukan pendakian di gunung-gunung bersalji (apline), saya sentiasa menekankan aspek keselamatan.

Nasihat yang disampaikan ini adalah ikhlas bertujuan mengelak kemalangan atau kejadian tidak diingini semasa mendaki gunung bersalji. Berikut aspek keselamatan yang perlu diketahui setiap pendaki.


1.Peralatan mendaki

Lampu kepala (head lamp) adalah alat asas yang mesti dibawa setiap kali mendaki walaupun hanya beberapa jam pendakian. Dalam pendakian, ada perkara yang tidak dirancang mungkin berlaku pada bila-bila masa sehingga menyebabkan pendaki terpaksa berjalan dalam keadaan gelap. Begitu juga peralatan lain seperti sunglass untuk mengelakkan buta salji (snow blind).



2.Masa/cut off time

Dalam pendakian, kita mesti tahu merancang masa. Cut off time adalah perkara penting terutama ketika asakan akhir ke puncak (summit push). Ia amat penting dipatuhi bagi memastikan pendaki berjaya turun dalam tempoh yang ditetapkan. Ingat!, naik ke puncak adalah pilihan (optional), tetapi turun dengan selamat adalah wajib (compulsory). Misalnya, untuk ke puncak Gunung Damavand di Iran, cut-off time adalah pukul 3 petang untuk tiba di puncak. Itu adalah masa yang normal. Biasanya ketua pendaki akan menetapkan beberapa cut off time di sepanjang trek. Penetapan masa itu mesti dipatuhi. Apabila tiba waktu yang ditentukan itu, segeralah turun. Ini kerana kita memerlukan masa untuk turun dengan selamat. Tambahan pula sewaktu turun, badan kita sudahpun terlalu letih. Ingat!, kebanyakan pendaki mengalami kemalangan atau meninggal dunia ketika turun. Justeru, kita mesti berdisiplin dan apabila kesuntukan masa, tiada pilihan kecuali turun.


3.Beza mendaki gunung alpine dan mendaki di hutan tropika

Ya, pendakian kedua-dua gunung tersebut sangat berbeza. Jika mendaki di hutan tropika, kita boleh mendaki sehingga ke malam mahupun sampai pukul 2 atau 3 pagi. Tetapi tidak di gunung bersalji. Untuk mendaki gunung itu, kita mesti mengambil kira faktor cuaca,angin,jarak penglihatan,altitud dan keadaan salji. Faktor itu kurang penting di hutan tropika. Justeru itu, saya nasihatkan pendaki supaya menambah ilmu pendakian.

4.Cuaca, jarak penglihatan dan angin

Ini perkara paling penting. Ada pendaki telah berhabis duit beratus ribu ringgit untuk naik ke puncak Everest sanggup menamatkan ekspedisi hanya kerana cuaca tidak baik. Kebanyakan kemalangan di gunung berpunca daripada faktor cuaca. Mendaki dengan jarak penglihatan yang rendah sangat berbahaya, apatah lagi kita tidak biasa dengan trek yang dilalui. Sesat, jatuh gaung, suhu jatuh mendadak dan risiko mendapat hipotermia dan radang dingin (frostbite) adalah antara kemalangan berkaitan cuaca. Sepatutnya apabila cuaca berubah buruk, ia menjadi penentu untuk kita tidak meneruskan pendakian dan segera turun. Jarak penglihatan 10 meter adalah sangat rendah dan berbahaya.

5.Pengurusan kem

Sebab itulah, ilmu dan pengalaman amat penting. Kita mesti belajar untuk menguruskan kem yang menempatkan pendaki di bawah pengawasan kita, selain mempunyai pengetahuan supaya peralatan tidak rosak, beku serta basah sehingga menyukarkan pendakian dan meningkatkan risiko hipotermia.