Menyedari kepentingan itu, sekumpulan pendaki mengambil inisiatif mengadakan program Konservasi Gunung Batu Puteh di Kuala Woh, Tapah, Perak pada 28 September hingga 1 Oktober 2017.

Bertemakan Dari Pendaki Kepada Pendaki, pengarah program, Ayieen Carlos Ng Ismail berkata, beliau bersama beberapa pendaki mengambil inisiatif menganjurkan program berkenaan selepas dimaklumkan ada pendaki terjatuh dan cedera semasa melalui kawasan bercerun tegak.

Menurutnya, bagi mengumpul dana untuk membeli tangga, tali, kos makan dan minum serta logistik, dia mencadangkan supaya setiap peserta membayar yuran sebanyak RM50.

“Ada juga yang beri lebih. Jumlah yang dikumpul mencecah kira-kira RM4,000,” katanya kepada S2.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatanuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Perak, Datuk Drs. Mohd. Nizar Zakaria.

Dalam pada itu, koordinator program, Mohd. Suhaimi Ibrahim berkata, sebanyak 10 tangga aluminium dan 350 meter tali yang dipotong mengikut jarak tertentu dipikul oleh peserta.

Katanya, seramai 53 peserta yang mengambil bahagian dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu kumpulan rintis dan gergaji rantai; kumpulan tangga dan tali; kumpulan perubatan serta kumpulan memasak.

“Kesemua peserta bermalam di Kem Balak dan keesokan harinya, barulah kami bergerak ke puncak mengikut kumpulan masing-masing. Apabila tiba di kawasan yang telah dikenal pasti memerlukan tali atau tangga, kami akan membuat kerja-kerja pemasangan sehingga selesai, kemudian menyambung semula pendakian.

“Sebanyak tiga tangga dipasang di kawasan Air Terjun Terbunuh. Setelah selesai kerja-kerja mendirikan papan tanda di puncak gunung, kami beransur-ansur turun dan sepanjang perjalanan turun, kami mengutip sampah. Dapatlah dua guni sampah yang ditinggalkan pendaki tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Muhammad Fakhrullah Hazziq Masnawi, 24, berkata, ini kali kedua dia menyertai program konservasi gunung iaitu kali pertama di Gunung Korbu pada 2015.

Menurutnya, walaupun masih baharu dalam dunia pendakian tetapi program seumpama itu sentiasa dekat di hatinya.

“Kalau ada lagi program seperti ini, saya pasti akan menyertainya. Penyertaan lebih ramai pendaki muda amat dialu-alukan kerana tenaga dan keringat mereka amat diperlukan terutama untuk memikul bebanan seperti tangga, simen dan pasir,” katanya.

Mengulas program Konservasi Gunung Batu Puteh, katanya, dia diberi tugas untuk memasang tali dan tangga di laluan trek yang curam, selain memasang papan tanda.

Tambahnya, pengalaman sepanjang program itu amat berharga dan beliau gembira dapat membantu, lebih-lebih lagi ia merupakan inisiatif pendaki untuk berbakti kepada alam sekitar.

“Program ini bermanfaat dan memberi kemudahan kepada pendaki lain yang akan melalui trek ini ke puncak Gunung Batu Puteh,” ujarnya.

Dia berharap, aktiviti seperti itu dipergiatkan lagi pada masa hadapan kerana ia merupakan salah satu cara untuk membantu memelihara hutan di negara kita.

“Galakan perlu diberikan kepada masyarakat luar terutama pendaki agar lebih ramai ‘turun padang’ untuk menjayakan program konservasi gunung,” katanya.