Mereka datang dari Parit Buntar, Kulim, Manjung, Ipoh, Tai­ping, Sungai Petani dan Seberang Prai untuk sama-sama berkongsi minat, selain menjual Hot Wheels.

Usaha mengumpul para pe­nggemar kenderaan mainan itu di sini bermula sejak tahun 2016 lagi menerusi penubuhan Parit Buntar Hot Wheels Collection dan ia mendapat sambutan amat menggalakkan.

Penggemar Hot Wheels, Mohd. Syaqirin Mohd. Sanusi, 33, berkata, kumpulan itu mempunyai ahli seramai lebih 200 orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Menurutnya, mereka mengadakan perjumpaan di sini sebulan dua kali bermula pukul 9 malam hingga tengah malam dan kebia­saannya pada malam minggu.

“Kami berhimpun di lokasi yang telah ditetapkan mengikut giliran, sebagai contoh di Parit Buntar pada setiap malam ming­gu.

“Kawasan bangunan dan halaman Pusat Perniagaan Mara, Parit Buntar menjadi lokasi tumpuan peminat dan peniaga kenderaan mainan ini,” katanya.

Menurutnya, antara 20 hingga 30 peniaga Hot Wheels berniaga di sini yang menjual pelbagai model popular seperti Honda, Datsun, Toyota Skyline dan sebagainya.

Katanya, harga Hot Wheels bermula serendah RM7, namun ada yang mencecah ratusan ringgit, khususnya edisi terhad.

Jelasnya, kanak-kanak adalah golongan yang paling gembira jika datang ke lokasi jualan Hot Wheels di sini.

“Hot Wheels kini menjadi ke­gilaan atau trend di Parit Buntar. Para peminatnya datang bersantai bersama keluarga sambil minum teh tarik di sebuah kedai, Pak Non Corner yang terletak berhampiran,” katanya.

Seorang peminat, Muhamad Khairulizam Abd. Halim, 32, berkata, dia mula mengumpul kenderaan mainan itu sejak setahun lalu dan kini memiliki 200 koleksi Hot Wheels kereta Jepun dan Amerika Syarikat.

Katanya, hobi tersebut sema­kin berkembang, diminati ramai dan percaya kawasan perniagaan Mara di sini akan dikenali sebagai pusat tumpuan peminat Hot Wheels apabila siapnya Stadium Mini Parit Buntar yang sedang dalam pembinaan.

“Bagi yang berniaga kenderaan permainan ini, perniagaan mereka pasti akan lebih mendapat permintaan ketika acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) yang bakal berlangsung di sini pada September ini,” katanya.

Seorang pengumpul, Moha­mad Nizam Mohd. Yusof berkata, perjumpaan sesama peminat Hot Wheel di sini diuar-uarkan menerusi aplikasi Whatsapp dan Facebook

“Pertemuan seperti ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan, di sam­ping mencari kenalan baharu da­ripada pelbagai kaum,” katanya.