Pada 2013, sekali lagi penulis berada di negara Himalaya itu. Penulis ditugaskan membuat liputan anak-anak Felda mendaki Gunung Everest. Dalam pendakian anjuran Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) itu, tujuh pendaki berjaya menakluk ‘bumbung dunia’ pada 21 dan 23 Mei 2013.

Terbaharu, pada 24 April hingga 5 Mei 2017, buat kali ketiga penulis berkunjung ke negara tersebut. Kali ini, penulis mengikuti program Cabaran Annapurna Media dan Bomba 2017 anjuran Kelab Media Pahang. Kesemua 62 pendaki berjaya menakluk Annapurna Base Camp (ABC) pada 30 April 2017.

Dalam ketiga-tiga detik waktu itu, penulis dapati tahap pembangunan negara itu seperti tidak berubah. Ini dapat dilihat pada infrastruktur dan kualiti jalan raya yang masih di takuk lama.

Elektrik dan air masih dicatu. Jangan terkejut apabila sedang mandi, bekalan air terputus. Malah, semasa mengecas telefon bimbit, bekalan elektrik terputus tanpa sebarang amaran.

“This is Nepal,” kata seorang rakan yang telah beberapa kali ke negara itu. Memang itulah wajah sebenar Nepal. Elektrik dan air dicatu bukan kerana kekurangan sumber, sebaliknya berpunca daripada pelbagai masalah lain termasuk rasuah. Secara logik, mustahil negara yang memiliki banyak sungai termasuk tiga yang utama iaitu Koshi, Gandaki dan Karnali kerap terputus bekalan air.

Penulis pernah terbaca sebuah artikel luar negara yang menulis, “A tiny mountainous country Nepal, is rich in water resources.” Perenggan berikutnya menjelaskan negara itu tidak sepatutnya menghadapi masalah air.

Mengimbas semula ‘bencana’ pada 24 April, penulis dan rakan-rakan ‘diuji’ dengan ketiadaan air semasa menginap di sebuah hotel yang terletak di kawasan beli-belah barangan aktiviti luar yang sibuk di Thamel. Sepanjang malam sehingga pagi esoknya, bekalan air terputus.

Masalah sama berlaku selepas kami berjaya menakluk ABC. Kami berpatah balik ke Kathmandu dengan menaiki bas dari Pokhara. Jarak perjalanan hanya 198 kilometer tetapi memakan masa lebih lapan jam untuk sampai kerana keadaan jalan raya yang amat daif, sempit, berlubang dan menempuh kawasan berbukit yang panjang. Kami mendaftar masuk pada 3 dan 4 Mei lalu. Kali ini, bekalan air lebih teruk terputus. Di bilik penginapan penulis, bekalan terputus selama dua hari.

Apabila ditanya kepada pengurusan hotel, jawapan yang diterima adalah pam air gagal berfungsi kerana bekalan elektrik terputus. Disebabkan itu, ada dalam kalangan kami membeli air mineral dalam isian 10 liter sebotol di kedai tingkat bawah hotel. Penulis sendiri membeli tiga botol besar air.

Nepal muncul sebagai negara republik pada 28 Mei 2008 selepas sistem pemerintahan beraja yang berusia 240 tahun ditumbangkan. Namun gempa bumi pada skala Ritcher 7.8 pada 25 April 2015 telah menjerumuskan negara itu ke dalam kancah negara-negara miskin di dunia dengan pendapatan perkapita setiap tahun hanya AS$42.1 juta (RM178 juta).

Penulis berpeluang melihat kehidupan rakyat Nepal dalam dua sistem pemerintahan berbeza, iaitu pada 2006 (sebelum menjadi republik) dan 2013 serta tahun ini. Apa yang pasti, negara itu tetap miskin. Syukurlah Tuhan menganugerahkan Gunung Everest kepada Nepal. Itulah sumber utama yang menjana ekonomi negara tersebut sejak Edmund Hillary dan Tenzing Norgay menakluk ‘bumbung dunia’ pada 29 Mei 1953.

Sejak tarikh keramat itu, Nepal seolah-olah bergantung sepenuhnya kepada puncak tertinggi dunia bagi menjana ekonominya. Hotel tumbuh bak cendawan selepas hujan. Selain itu, rumah-rumah tetamu dibuka di sepanjang laluan mendaki di kawasan pergunungan. Khidmat pengangkut barang (porter), penunjuk arah (guide), pengangkutan darat dan udara, kedai runcit dan kedai menjual barangan luar menjana pendapatan rakyatnya.

Untuk ke puncak Everest, seorang pendaki dikenakan bayaran permit sebanyak AS$11,000 (RM48,000). Pada tahun ini, seramai 373 pendaki asing mendapat kebenaran mendaki Everest dan negara itu dijangka meraih kutipan yuran melebihi AS$2 juta (RM8.67 juta).

Sebahagian besar usaha mendaki ke puncak 8,848 meter itu melibatkan khidmat sekurang-kurangnya seorang malim gunung warga Nepal. Ini menjadikan seramai 750 individu kini menuju ke puncak Everest dalam beberapa minggu akan datang.

Selain Everest, Nepal turut memiliki gunung tertinggi lain iaitu Lhotse, Makalu, Cho Oyu, Kangchenjunga, Dhaulagiri, Annapurna dan Manaslu. Kesemuanya menjana pendapatan melalui tukaran mata wang asing daripada pendaki luar. Tanpa Banjaran Himalaya yang memisahkan Nepal dan China, sukar dibayangkan apakah tahap ekonomi negara miskin itu sekarang.