Pengasasnya, Mohamad Abdul Rahman berkata, usaha tersebut turut bertujuan membantu peminat sukan mendaki mendapatkan khidmat gogo yang boleh dipercayai, berlesen dan bertauliah sekali gus membendung kegiatan gogo lipak.

“Masih ada yang menggunakan khidmat individu tidak dikenali sebagai gogo tanpa mengetahui latar belakang mereka. Apabila berlaku kes program batal dan wang dilarikan, peserta tidak dapat mengesan individu terbabit.

“Hacam akan daftarkan butiran penganjur (gogo) yang mengiklankan program-program mereka pada laman Facebook kami. Direktori yang mengandungi nama, alamat, nombor telefon penganjur dan lain-lain mampu mengurangkan risiko penipuan,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Mohamad Abdul berkata, industri sukan rekreasi khususnya melibatkan aktiviti mendaki di Malaysia tidak dikawal selia sebaiknya.

Katanya, sebab itu wujud pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan berani menipu peserta.

“Ikut undang-undang, penganjur wajib memiliki lesen sebagai ejen pelancongan bagi membolehkan mereka menganjurkan sebarang program dan perkhidmatan.

“Namun, pemilikan (lesen) memerlukan modal yang tinggi dan ini mengakibatkan sebilangan besar gogo yang tidak bertanggungjawab mengelak daripada mendapatkan lesen dan terus beroperasi secara tidak sah.

“Bagi mangsa yang ditipu, saya sarankan buat laporan rasmi. Pihak kami akan bantu membuat rundingan antara gogo terbabit dengan mangsa. Jika tiada penyelesaian, kami akan bantu mangsa untuk bawa kes tersebut ke mahkamah,” ujarnya.