Itu antara faktor kunjungan pelancong asing ke negara kita. Mereka tertarik dengan aneka jenis makanan sama ada tradisional mahupun ala barat yang mana hampir kesemua boleh didapati di Malaysia.

Baru-baru ini, berlangsung program KL Fabulous Food Hunt 2017 yang mana menjadi inisiatif untuk memperkenalkan lagi keistimewaan Malaysia dan makanannya.

Program yang telah masuk tahun ketujuh penganjuran itu berjaya menarik 1,200 penyertaan dalam dan luar negara serta kali pertama dianjurkan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ahmad Alsraf Ahmad Mokhtar berkata, selain mempromosikan makanan tempatan, KL Fabulous Food Hunt 2017 juga dilaksanakan untuk merancakkan lagi industri pelancongan dalam negara.

“Menerusi program berkonsepkan eksplorace ini, peserta diuji dengan pelbagai cabaran. Namun, apa yang lebih menyeronokkan adalah mereka turut berpeluang menikmati makanan tempatan sepanjang perlumbaan berlangsung.

“Sudah pasti, program ini dapat mempromosikan makanan serta pelancongan kita kerana peserta yang bertanding juga terdiri daripada pelancong dan pelajar dari negara lain” katanya.

Ahmad Alsraf memberitahu, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi kerana kepelbagaian makanan yang ada di sekitarnya.

Jelasnya, secara tidak langsung, KL Fabulous Food Hunt 2017 turut mempromosikan premis makanan yang menarik di sekitar ibu kota.

“Ini adalah cara lain untuk kita mempromosikan Kuala Lumpur dan lokasi menarik sekitarnya. Lebih utama, usaha ini turut menyumbang kepada pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan,” tambahnya.

Nurin Adlina Ahmad Khuzairi, 20, yang kali pertama menyertai KL Fabulous Food Hunt menganggap program tersebut sebagai satu platform integrasi masyarakat yang menye–ronokkan.

“Malaysia kaya dengan kepelbagaian makanan yang mana ada antara makanan tersebut kurang popular atau dikenali.

“Saya harap program seperti ini dianjurkan lebih kerap agar orang ramai dapat mengenali kepelbagaian makanan tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Al Ameer, 30, teruja apabila berkesempatan menyertai KL Fabulous Food Hunt untuk kali kedua. Katanya, kali ini dia turut mempelawa rakan-rakan lain untuk turut serta.

“Ini adalah pengalaman yang menyeronokkan. Dengan penyertaan ini, kami dapat mengenali lebih dekat tentang budaya dan makanan tradisi masyarakat Malaysia,” jelasnya.