Tidak dinafikan lawatan pertama kali ini cukup menyenangkan, berharga, memberi inspirasi dan membuka minda kami semua tentang keindahan serta keunikan sosio-budaya Hindu di negara seberang.

Di sini, kami memilih untuk menginap di Green U-Malas Resort yang terletak di Seminyak. Bermula hari pertama, kami manfaatkan waktu lapang untuk meneroka bandar Kuta dengan menaiki tiga motosikal yang disewa pada harga RM100.

Sepanjang eksplorasi, kami sempat mengunjungi Pasar Badung yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia. Pasar tradisional itu merupakan antara pasar terbesar di Bali. Pasar itu beroperasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa henti.

Selain itu, bagi mereka yang ingin menyaksikan keindahan panorama matahari terbenam, jangan lepaskan peluang mengunjungi Pantai Kuta yang terletak di selatan Bali.

Kami meneruskan penjelajahan hari kedua dengan mengunjungi Tanah Lot. Tempat itu popular dengan cerita mitos dan legenda tersendiri. Perjalanan kami dari Seminyak ke kawasan tumpuan pelancong itu mengambil masa kira-kira 50 minit menaiki motosikal.

Hari ketiga membawa kami ke daerah Ubud dan Gianyar yang dianggap pusat kebudayaan dan seni di Bali. Di sini, pancaindera disajikan dengan keindahan perkampungan yang dibina di sekitar kehijauan kawasan berbukit.

Terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar, Ubud dan Gianyar menjadi tarikan yang wajib dikunjungi pelancong. Jika bertandang ke Ubud, jangan lupa melawat tarikan utama sekitarnya seperti Monkey Forest, tempat menghasilkan kopi luwak (kopi tahi musang), teres padi, Pura Tirta Empul dan air terjun Tegenungan.

Pada hari terakhir di Bali, kami memilih untuk menikmati keindahan Uluwatu, kawasan pantai yang indah dan sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Uluwatu juga terkenal dalam kalangan peluncur air kerana ombaknya yang kuat.

Tidak lengkap kunjungan tanpa merasai kelazatan makanan tempatan. Justeru, kami penuhi impian menikmati juadah popular di Bali seperti pecel lele, bebek goreng dan ayam penyet pada hari terakhir percutian.

Percutian di Bali adalah kenangan yang tidak akan penulis lupakan. Walaupun berdepan sedikit kesulitan seperti keadaan cuaca tidak menentu dan sesat dalam perjalanan, kunjungan ke sini tetap menjadi memori indah buat kami semua.