Teknik tersebut memerlukan kawalan daripada seorang pengendali yang terlatih dan jika tidak boleh mengundang kecelakaan.

Sebagai salah satu cabang sukan permotoran profesional, acara peringkat antarabangsa turut diadakan bagi mengiktiraf kemahiran pemanduan berdasarkan beberapa kriteria seperti daya persembahan, kelajuan, sudut dan laluan yang digunakan.

Cabang permotoran itu diper­kenalkan sejak lebih 15 tahun lalu melahirkan nama besar dari Malaysia ke mata dunia seperti Tengku Djan, Loyai Hanizam dan Bullzai Hamdan.

Kini, perkembangan sukan permotoran itu melahirkan bintang baharu dalam arena tersebut namun masih kurang pendedahan lantas meletakkannya hanya sekadar acara yang tiada kesinambungan.

Biarpun begitu, terdapat peminat sanggup melabur duit sendiri demi melonjakkan pencapaian seiring dengan negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Sukan tersebut popular dianjurkan di bandar-bandar besar kerana sering menjadi tumpuan pelumba beraksi di litar yang telah disediakan dengan pelbagai kemudahan serta ciri keselamatannya.

Penganjuran sukan tersebut di kawasan bandar membuatkan peminat drift di luar bandar tidak berpe­luang mendekati apatah lagi mahu mencuba sukan tersebut kerana faktor jarak.

Namun segalanya tidak mustahil jika minat mengatasi segala­nya apabila sukan drift turut diadakan di luar bandar bagi memenuhi citarasa peminatnya.

Di Pendang, Kedah misalnya, drift adalah aktiviti wajib pada hujung minggu bagi peminat sukan tersebut.

Walaupun tidak mempunyai litar khusus, penggerak sukan berkenaan bekerjasama dengan Kelab Komuniti Sukan dan Rekreasi (SRCC) Pendang, Majlis Daerah Pendang (MDP), Northern Region Drift Community (NRDC), Dtech Drift Conversion dan Kilang Kecik Speedway berjaya menjadikan tapak pekan sehari Kilang Kecik sebagai litar hujung minggu.

Pada setiap Ahad, peminat daripada pelbagai lapisan umur akan berkumpul seawal pukul 4 petang menyaksikan aksi jentera drift terdiri daripada kereta lama dan baharu.

Suasana tenang kawasan kampung bertukar gamat dengan bunyi deruman enjin berkuasa tinggi di litar.

Menurut penganjur, Rozmy Fadzly Othman, dengan adanya tempat khusus untuk beraksi aktiviti itu bukan sahaja dapat mencungkil dan mengasah bakat baharu malah mengurangkan gejala tidak sihat seperti lumba haram.

“Pertandingan akan dianjurkan minggu terakhir setiap bulan manakala pada minggu biasa digunakan untuk latihan.

“Walaupun diperingkat awal litar ini masih serba kekurangan dari segi infrastruktur, acara itu berjaya mendapat penyertaan segenap negeri terutamanya dari Alor Setar, Sungai Petani dan Jitra malah hingga ke negeri jiran seperti Pulau Pinang serta Perlis,” katanya ketika ditemui di Pendang, baru-baru ini.

Bagi memenuhi permintaan peminat drift yang semakin meningkat di Pendang, Rosmie berharap kerajaan memberikan tumpuan khusus membangunkan sukan tersebut kerana berpotensi dijadikan tarikan dalam sektor pelancongan dan industi permotoran kawasan itu.

“Kami berharap kemudahan di litar itu dapat ditambah baik bagi memberi keselesaan serta memastikan keselamatan peserta dan penonton terjamin.

“Sekiranya litar tersebut mempunyai kemudahan mencukupi secara tidak langsung akan mempopularkan daerah Pendang dan menarik kedatangan pelancong dari luar ke sini,” ujarnya.