Ekspedisi anjuran Malaysia Backpakers (MBP) itu akan membawa Jalur Gemilang ke Kem Induk Gunung K2 dan puncak Gondorogo-La yang masing-masing mempunyai ketinggian 5,650 dan 5,585 meter dari aras laut.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, objektif ekspedisi yang mengambil masa selama 17 hari itu ialah untuk menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara.

“Aktiviti itu mencerminkan semangat rakyat Malaysia yang sanggup melaksanakan pendakian sukar ke lokasi pergunu­ngan yang terkenal untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

“Ekspedisi juga membuktikan semangat juang rakyat Malaysia yang menjelajah untuk aktiviti sukan lasak, khasnya pendakian gunung,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Jalur Gemilang dan pelepasan peserta di sini, hari ini.

Menurut Mas Ermieyati, para peserta juga akan melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial dengan menyumbang pelbagai barangan persekolahan kepada sebuah sekolah di kawasan pergunungan tersebut.

“Sumbangan itu dilihat sebagai langkah positif kepada negara kerana dapat mengeratkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Pakistan yang menyambut ulang tahun ke-52 hubungan diplomatik.

“Kumpulan pendaki ini juga mampu menjadi duta kecil negara untuk mempromosikan aktiviti pelancongan lasak yang menarik di Malaysia kepada pendaki sukan lasak antarabangsa seperti menyelam di Sipadan dan mendaki Gunung Kinabalu di Sabah,” katanya.

XPDC Merdeka Day itu diketuai oleh Nor Afende Aminudin dan disertai Hafiz Ithnin, Zuraila Abd. Jalal, Mohd. Izzat Mohd. Zin, Muhammad Azham Ab. Hamid, Maznah Baba, Khairul Nizam Minhat, Muhammad Eddy Muhammadin dan Muhammad Hakim Mat Daud.

Pasukan pendaki yang telah membuat persiapan intensif selama enam bulan itu perlu mendaki antara lapan hingga sepuluh jam sehari dan terpaksa berhadapan dengan udara yang nipis serta berisiko mendapat penyakit akut gunung (AMS).