Ini kerana, sepanjang lapan jam bertugas selama bertahun-tahun lamanya dalam dua sistem pengangkutan awam itu telah menemukan beliau dengan pelbagai pengalaman pahit dan manis sewaktu mengendalikan tren-tren terbabit.

Justeru, tidak hairanlah apabila ditawarkan sebagai pemandu tren di perkhidmatan tren Mashaaer Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) di Mekah, Arab Saudi, baru-baru ini, Shamsul Kamal sudah bersedia dengan apa juga cabaran yang akan datang.

Menurutnya, tawaran sebagai pemandu tren di Mekah itu juga telah dijadikannya sebagai pencetus inspirasi dalam usahanya untuk berbakti kepada para jemaah pada musim haji ini dengan berbekalkan pengalaman yang ada.

“Persiapan dimulakan pada Mac lalu di mana kesemua pemandu tren diwajibkan mengikuti kelas latihan yang dikenali sebagai rule book, system overview, operasi pemanduan dan juga ujian kecemasan selama tiga hari.

Selepas lulus ujian itu setiap pemandu tren harus mendapat sekurang-kurangnya 40 jam latihan pemanduan bagi mendapat kelayakan membawa tren MMMSL pada musim haji tahun ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kata Shamsul Kamal atau lebih dikenali sebagai Gee Amcorp, perkhidmatan tren MMMSL yang dipandunya sangat mencabar fizikal dan mental kerana beliau dan rakan-rakannya yang lain perlu membawa hampir seramai 350,000 orang jemaah pada setiap hari.

Beliau yang berasal dari Tanjung Malim, Perak menambah, tugasnya yang paling mencabar adalah ketika waktu puncak iaitu ketika wukuf di Arafah kelak apabila tren sepanjang 277 meter itu perlu mengikut jadual perjalanan yang telah ditetapkan.

Dengan tren sepanjang itu katanya, setiap pemandu perlu membawa seramai kira-kira 3,000 jemaah haji dalam satu-satu masa dan ia lebih mencabar berbanding pengalamannya sewaktu bekerja di Malaysia tidak lama dulu.

Namun, sebagai rakyat Malaysia beliau amat berbangga kerana diberi kepercayaan oleh kerajaan Arab Saudi memandu tren MMMSL, apatah lagi dalam usaha memudahkan urusan para jemaah bagi menunaikan ibadah haji.

“Saya bangga kerana dipilih bagi menjalankan tanggungjawab ini yang mana perkhidmatan tren berteknologi tinggi ini sama seperti di negara-negara maju, malah tren ini akan digunakan oleh para jemaah haji dari seluruh dunia.

“Kepakaran pemandu tren dari Malaysia seramai 106 termasuk saya diakui di bumi Arab Saudi. Saya harap peluang ini juga akan menjadi sumber inspirasi dan membuka mata negara-negara lain di masa akan datang,” ujarnya.

Berdepan masalah

Beliau yang pernah menjadi pemandu tren komuter KTM dari tahun 1993 hingga 1995 dan LRT (1996 hingga 2002) tidak menafikan pelbagai bangsa dari seluruh dunia yang bakal menggunakan perkhidmatan itu adalah cabaran utama buatnya.

Ujarnya, masalah yang sering berlaku kepada jemaah haji adalah kesilapan semasa menaiki tren dan berpecah daripada kumpulan asal, apatah lagi kebanyakan mereka pula adalah jemaah baharu yang tidak tahu waktu operasi MMMSL.

Jelas Shamsul Kamal, biasanya jemaah haji hanya mengikut ketua kumpulan mereka sahaja semasa menaiki tren selain ada yang menggunakan kerusi roda untuk mengerjakan haji yang mana golongan ini biasanya berdepan sedikit masalah.

Bagaimanapun, dengan pengalaman serta latihan yang diterima sewaktu berada di Mekah sejak bulan Mei lalu menyebabkan beliau lebih yakin serta bersemangat bagi mencurahkan keringatnya demi meraih pahala yang berlipat kali ganda di Bumi tumpuan seluruh umat Islam itu.

“Para jemaah haji ini haruslah bersama-sama dengan jemaah lain sewaktu menaiki tren supaya tidak mendatangkan masalah semasa menutup pintu masuk atau keluar dari tren. Itu adalah antara cabaran yang akan timbul.

“Apatah lagi, adakalanya jemaah haji menaiki sesebuah tren yang boleh membawa sehingga 3,500 orang dalam satu satu masa akan menjadi kelam kabut biarpun sebanyak 17 tren telah disediakan bagi memenuhi keperluan pada musim haji kali ini,” katanya.

Dengan pengalaman yang bakal diraihnya dalam waktu yang terdekat ini, beliau turut bersyukur kerana pada masa sama berpeluang bekerja serta sekali gus sempat beberapa kali menunaikan umrah di Mekah sepanjang berada di tanah kelahiran Nabi Muhammad SAW itu.