Setelah pelepasan rasmi di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini, kesemua 70 buah kenderaan pacuan empat roda yang membawa 150 peserta bergerak secara konvoi sebelum memasuki kawasan hutan hujan di Kemasul dan berakhir di Rompin, Pahang.

Hanya dengan semangat kerjasama berkumpulan, peserta mampu mengharungi cabaran off-road yang meliputi pelbagai halangan. Antaranya, mereka perlu meredah laluan sukar seperti jalan berlumpur, anak sungai serta permukaan jalan tanah licin, sama ada mendaki atau menuruni bukit.

Cabaran bermula apabila peserta dikehendaki mengharungi trek yang telah ditetapkan. Selepas Kemasul, peserta dikehendaki mengharungi cabaran di Tasik Bera.

Tidak berakhir di Tasik Bera, peserta dikehendaki menempuh trek merangkumi kawasan seperti Selancar, Ulu Pukin, Sebarau dan Kediak.

Namun, kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila 18 jentera memilih untuk pergi ke kawasan air terjun Ulu Pukin di Selancar.

Laluan untuk ke sana terkenal dengan jolokan Devil Loops kerana selain trek yang mencabar, masa yang diperlukan untuk mengharungi jarak 40 km off-road adalah 24 jam sehala.

Selain mengharungi cabaran itu, peserta turut diberikan tugasan di setiap kawasan untuk merebut gelaran juara pelbagai kategori.

Antara tugasan tersebut adalah melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di kampung yang terletak di sepanjang trek dilalui mereka.

Selepas tujuh hari membelah hutan belantara, terpancar kepuasan di wajah setiap peserta apabila tiba di Rompin.

Mereka tersenyum puas melihat keindahan pantai dan Laut China Selatan.

Pengasas dan Pengarah Program Cabaran Piala Rainforest, Luis J. A. Wee memberitahu, pertandingan itu bertaraf antarabangsa.

“Peserta dari pelbagai negara seperti Rusia, Sri Lanka, Thailand, Filipina, China dan Hong Kong mengambil bahagian dalam cabaran tersebut.

“Enam trofi pelbagai kategori dibawa pulang peserta seperti atas 7,000 cc, bawah 7,000 cc, Kelas Terbuka, Junglemen, Semangat Berpasukan dan Piala Rainforest,” katanya.