Dianjurkan oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), acara itu terbahagi kepada lima kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Campuran, Pelajar Lelaki, Pelajar Campuran dan Agensi Pelancongan.

Perlumbaan kayak sejauh 40 kilometer itu bermula dari Puteri Harbour, Iskandar Puteri dan berakhir di Kampung Sungai Melayu, Johor Bahru.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan Dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan sambil disaksikan Presiden MTC, Uzaidi Udanis.

Uzaidi ketika berucap dalam majlis perasmian acara itu berkata, IPKC 2017 diadakan bertujuan mempromosikan tiga elemen penting dalam satu destinasi.

Yang pertama, jelas beliau, adalah untuk mempromosikan pelancongan sukan di Puteri Harbour khususnya acara kayak.

“Yang kedua, kita hendak mempromosikan pelancongan eko di Kampung Sungai Melayu dan ketiga, pelancongan warisan di negeri ini yang kaya dengan sejarah dan budaya,” katanya.

Menurut Uzaidi, pihaknya teruja menerima penyertaan seramai 150 orang kerana pada peringkat awal, hanya menjangkakan penyertaan sekitar 50 orang.

“Alhamdulillah kita dapat penyertaan menggalakkan walaupun acara ini julung kali diadakan. Tahun hadapan kita sasarkan penyertaan daripada peserta antarabangsa pula.

“IPKC 2017 akan dijadikan acara tahunan dan diharapkan menjadi acara ikon sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” ujarnya.

Dalam majlis perasmian itu, MTC turut mematerai memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa agensi dan persatuan bagi membantu mempromosikan pelancongan di Malaysia.

Antaranya ialah MBIP, Netherlands Maritime Institute of Technology (NMIT), EduCity, Kelab Alami dan Kelab Eksplorasi Media Malaysia (KEMM).

Berlangsung serentak dengan IPKC 2017 ialah Festival Sukan Laut di Kampung Sungai Melayu sempena pengisytiharan MBIP yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT).

Antara acara yang dipertandingkan dalam festival itu yang disertai penduduk Kampung Sungai Melayu ialah lumba bot, tangkap itik, panjat tiang licin, pukul bantal dan kayuhan dugong.