Selain sebagai riadah, aktiviti ini juga membantu meningkatkan keyakinan diri dan memberikan kepuasan sebenar kepada pemandu yang berjaya mengawal serta mengendalikan kenderaan tersebut dengan baik.

Lebih daripada itu, kejayaan mewujudkan ATV Park di Kota Tinggi, Johor bukan sahaja dapat memenuhi keperluan rekreasi masyarakat setempat, malah mampu meningkatkan sosioekonomi mereka.

Pengusaha merangkap Pengurus ATV Park, Ithnin Buang, 41, memberitahu, trek lasak yang dibangunkan secara gotong royong empat tahun lalu itu terletak di tepi laluan utama Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit dan berhadapan pintu masuk ke Felda Air Tawar 2.

Katanya, lokasi itu memang strategik dan mudah dicari atau dikunjungi orang ramai.

Menurutnya, trek itu juga sesuai bagi mereka yang baharu pertama kali mahu mencuba sukan lasak yang mencabar fizikal dan mental.

Katanya, ATV Park tersebut memulakan operasinya pada Jun 2013 dengan tiga buah ATV terpakai yang dibeli secara berkongsi dengan rakan-rakannya.

Sejak beroperasi, pihaknya menawarkan pengalaman melakukan aktiviti lasak dengan menunggang motosikal beroda empat sekitar trek tersebut.

“Setakat kini, kami mempunyai 20 kenderaan pelbagai guna yang mampu menjanjikan kepuasan kepada penggemar sukan ekstrem ini.

“Terdapat enam laluan berbeza, bermula dari 1.5 kilometer hingga 25 kilometer. Kesemua laluan ini ditawarkan kepada peminat sukan ATV. Terpulang kepada mereka untuk memilih cabaran tersendiri termasuk meredah laluan berliku dalam hutan sambil menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid berbangga atas kejayaan penubuhan ATV Park yang terhasil daripada idea kreatif dan juga inovatif kumpulan golongan muda tersebut.

“Saya percaya trek ATV yang satu-satunya terdapat dalam kawasan Parlimen Kota Tinggi ini dapat memberi pendedahan amat berguna, bukan sahaja kepada warga tempatan, malah menjadi pusat tumpuan pengunjung luar dan pelancong asing.

“Inilah yang kita mahukan. Pemikiran kreatif daripada golongan muda tidak hanya disimpan, sebaliknya diterjemahkan agar dapat menghasilkan kejayaan,” katanya semasa menyertai Program Yok!! ATV Endurance Parlimen Kota Tinggi 2017 bersama ketua-ketua jabatan, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Shamsuddzukha Hashim; Setiausaha PBT Pengerang, Shamsul Bahri Md. Dali; Pegawai Rela Daerah, Jasma Khamis dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Mohd. Sarul Nizam Khirudin.