Antara lokasi tumpuan golongan tersebut adalah Taman Eko Rimba Kanching yang terletak di dalam Hutan Simpan Kanching dan Hutan Simpan Lagong berdekatan Rawang, Selangor.

Lokasi itu kini menjadi tumpuan pendaki kerana terdapat dua bukit di kawasan tersebut iaitu Bukit Takun dan Bukit Kanching yang menawarkan denai pendakian yang tidak begitu sukar.

Pengalaman mendaki kedua-dua bukit itu meninggalkan kenangan manis buat penulis yang menyertai program Takun Trail. Seramai 22 orang terlibat dalam program yang bermula dari pintu masuk Taman Eko Rimba Kanching.

Sebaik sahaja berkumpul, kami dibawa menaiki kenderaan menuju ke tempat mula mendaki di Taman Eko Rimba Templer, Rawang. Perjalanan memakan masa kira-kira 10 minit.

Sebaik tiba, kami melakukan sesi memanaskan badan bagi mengurangkan risiko kejang otot.

Tanpa berlengah, kami memulakan pendakian sekitar pukul 9 pagi. Misi kami adalah menakluk puncak Bukit Takun dan Bukit Kanching.

Boleh tahan juga pendakian yang dilakukan. Hampir lima jam, kami memerah keringat demi menakluk puncak bukit tersebut.

Pendakian berakhir di Taman Eko Rimba Templer. Kami kemudian menaiki kenderaan menuju ke Taman Eko Rimba Kanching. Walaupun penat, namun tidak terasa kerana 
kami puas hati dapat 
menikmati keindahan alam semula jadi termasuk air terjun yang cantik.

Pengerusi Takun Trail, Ahmad Naser Baharom memberitahu, program pendakian itu bertujuan menarik lebih ramai anak muda melakukan aktiviti sihat.

Katanya, sebanyak 10 peratus daripada yuran pendaftaran RM30 yang dikenakan kepada setiap peserta disumbangkan kepada surau Al-Akhyar.

“Orang ramai yang berminat mendaki Bukit Takun boleh melayari laman Facebook, Takun trail templer park atau emel ke alamat [email protected],”katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Hutan Daerah Hulu Selangor, Syed Mohd. Adzha Syed Khalid berkata, pihaknya kerap mengadakan operasi bersepadu bagi memastikan tiada pencerobohan hutan.

Menurutnya, Selangor kaya dengan khazanah alam yang boleh dijadikan lokasi tumpuan orang ramai melakukan aktiviti riadah. Justeru, pihaknya sentiasa berusaha mengawal hutan di negeri itu daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.