Selain tarikan Tasik Puteri yang menanti kunjungan,  ia sedang beransur diberi nafas baharu termasuk mempromosikannya sebagai destinasi pelancongan berasaskan aktiviti itu dengan pembukaan Bukit Besi Rainforest Endurance Park (BBREP).

Trek sejauh 25 kilometer boleh dimanaatkan bagi  pelbagai kegiatan termasuk sukan kuda, menunggang All Terain Vehicle (ATV), marathon, motocross, basikal mountain bike dan `mature hiking’.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Roslee Daud berkata, pihaknya kini giat berusaha untuk menerokai potensi pelancongan yang boleh diketengahkan supaya dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat dari sudut ekonomi.

Dengan adanya pusat ekopelancongan ini, dapat  memberi banyak kebaikan untuk orang tempatan seperti mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia di kawasan sekitar.

“Banyak aktiviti yang sedang dirancangkan untuk merancakkan lagi kalendar pelancongan seperti kejohanan ATV yang terbuka kepada peserta dalam dan luar Terengganu,” katanya kepada pemberita.

 Beliau ditemui semasa hadir dalam mempromosikan kegiatan ATV,  di BBREP baru-baru ini. Turut serta, Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainuddin.

 Sementara itu, Pengarah Urusan Alam Perkasa Technology , Mohamad Ngah yang menyediakan kemudahan ATV di situ yakin kegiatan itu akan menjadi tarikan bagi mereka yang ingin merasai pengalaman megujakan, meredah persekitaran berbukit.

“Dengan trek  mengambil masa hingga empat jam, turun naik bukit serta meredah laluan sukar penuh lumpur memberi cabaran untuk melepasinya yang menguji ketahanan mental dan fizikal.

“Harga yang dikenakan adalah berpatutan hanya RM50 bagi perjalanan sejauh lima kilometer, kadar terendah di negara ini. Sambutan amat menggalakkan dan tempahan, untuk hujung minggu sentiasa penuh walaupun baharu beroperasi.

“Kami juga akan menyediakan pakej pertandingan bersama penginapan bagi kemudahan pengunjung  dan peserta. Perbincangan telahpun dibuat dengan pengusaha homestay di sekitar Bukit Besi untuk membantu meningkatkan pendapatan mereka,”ujarnya. - UTUSAN ONLINE