Suara keriangan pelajar yang berusia lapan sehingga 15 tahun itu memecah keheningan Kampung Genting, sekali gus ‘menceriakan’ penduduk kampung dengan gelagat masing-masing semasa berlangsungnya program berkenaan.

Malah keseronokan dan kepuasan jelas terpancar pada wajah mereka walaupun penat mengikuti pelbagai aktiviti yang telah dirangka sepanjang penganjuran program berkenaan.

Pengarah Program Bubble Camp 2018, Syed Rizalman Syed Abu Bakar berkata, program yang tersenarai dalam kalendar pelancongan Negeri Pahang itu mencatatkan sejarah dengan penyertaan paling ramai berbanding tujuh tahun lalu.

Katanya, walaupun majoriti peserta tidak pernah terdedah kepada kehidupan marin dan dibesarkan jauh dari kawasan pantai, hakikatnya mereka sedar tentang pentingnya ekosistem yang kini semakin pupus akibat pencemaran.

“Kita bangga dengan pembabitan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini termasuk kerajaan dan syarikat swasta seperti Tourism Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman.

“Apa yang penting, kesedaran tentang hidupan marin dan penduduk kampung di Pulau Tioman dapat dipelajari. Sebab itu, kita selitkan acara membuat bubu,” katanya kepada S2.

Pelbagai aktiviti telah dirangka dalam program itu, antaranya sukan, pemuliharaan karang, persembahan dan kursus motivasi.

Dalam pada itu, Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya berkata, program Bubble Camp turut memberi manfaat kepada penduduk kampung di sekitar Pulau Tioman dalam aspek pelancongan.

“Apabila mereka lihat ramai pelancong datang, ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa pulau ini ada nilai tersendiri terutama dari sudut ekonomi. Sebab itulah, mereka perlu jaga produk yang ada seperti hutan, karang serta budaya.

“Dalam masa yang sama, pelajar juga dapat memupuk kerjasama dan sikap pentingkan penjagaan kebersihan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman, Khairur Rizal Ramli berkata, nilai kekeluargaan antara penduduk dan pelancong terutama peserta Bubble Camp menjadi salah satu perkara paling berharga dalam penganjuran program yang diadakan setiap tahun itu.

“Mereka datang ke Pulau Tioman bukan sahaja untuk berseronok dan melakukan aktiviti, tetapi beramah mesra dengan penduduk tempatan. Kita mahu mereka bawa kenangan terindah yang tersemat dalam jiwa masing-masing dan menganggap pulau ini, rumah kedua mereka.

“Saya harap lebih ramai pelajar dari pelbagai latar belakang menyertai program ini yang telah memberi banyak manfaat semasa musim cuti sekolah,” ujarnya.