Dengan ketinggian kira-kira 651 meter dari paras laut, gunung yang turut dikenali Bukit Pulut itu perlu didaki untuk menjejaki puncaknya. Pendakian normal memakan masa kira-kira dua jam. Tempoh masa pendakian yang tidak lama membuatkan gunung itu menjadi tumpuan pendaki dari seluruh negara.

Ini termasuklah sekumpulan pendaki dari Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Seramai 37 pendaki dan dua pemandu arah terlibat menjayakan pendakian yang bermula dari Kampung Tawai baru-baru ini.

Ketua program, Isham Abu Kassim, 44, berkata, pendakian ke puncak Gunung Pulut merupakan sebahagian daripada program mendaki 20 puncak gunung yang dimulakan pada tahun lalu.

Menurutnya, program itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-20 MPSJ dan Gunung Pulut menjadi gunung penamat bagi program berkenaan.

“Program berakhir di Gunung Pulut. Alhamdulillah misi kami membawa kain rentang bertulis MPSJ dan logo MPSJ ke 20 puncak gunung berjaya dilaksanakan,” katanya kepada S2.

Antara gunung yang didaki dalam program itu ialah Korbu, Gayung, Chamah, Ulu Sepat, Yong Belar, Yong Yap, Irau, Baling, Pulai, Stong, Batu Puteh, Benom, Ledang, Bunga Buah dan Pine Tree Hill.

Menurutnya, selepas kejayaan itu, pihaknya bercadang untuk meneroka keindahan gunung-gunung di luar negara pula.

“Insya-Allah, kami akan mendaki Gunung Rinjani pada bulan April tahun depan. Setakat ini, jumlah penyertaan sudah mencecah 22 orang,” katanya.

Sementara itu, seorang pendaki, Mohd Suhaimi Ibrahim, 51, berkata, beliau diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program mendaki Gunung Pulut.

Menurutnya, pengalaman mendaki yang dimilikinya sejak zaman remaja terutama gunung-gunung di sekitar Perak digunakan sepenuhnya untuk mengurus pendakian ke puncak Gunung Pulut.

“Cabaran mendaki Gunung Pulut adalah pada laluan dinding batu yang hampir tegak. Ketinggian dianggarkan kira-kira tiga meter dan tali disediakan untuk memudahkan pendaki memanjatnya,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pendakian bermula pada pukul 4 petang dan trek awal adalah menempuh laluan balak yang sudah lama ditinggalkan dan ladang kelapa sawit.

“Terdapat pagar elektrik yang berfungsi dari pukul 6.30 petang hingga 7.30 pagi keesokan harinya.

“Pagar ini didirikan bagi menghalang haiwan liar terutama gajah masuk ke kawasan kampung. Jadi, pendakian perlu bermula awal.

Selain itu, katanya, sumber air terakhir adalah anak sungai yang ditemukan di pertengahan laluan ke puncak.

Pendaki katanya akan memenuhkan botol air masing-masing untuk kegunaan sendiri dan keperluan kumpulan memasak di puncak.

“Trek dari anak sungai ke puncak adalah mencanak. Apabila melepasi trek dinding batu, barulah terasa lega sedikit kerana puncak sudah dekat. Jarak ke puncak sekitar 10 minit sahaja,” tambahnya.

Seorang pendaki wanita, Norazan Ibrahim, 46, pula berkata, selain awan karpet, beliau terpesona melihat pemandangan lumut yang menghampar kawasan berdekatan puncak.

“Melihat lumut yang segar dan hijau, hilang segala penat lelah mendaki,” katanya.

Beliau berharap kawasan lumut yang hidup subur itu dipelihara daripada dipijak dan dirosakkan pendaki.

“Kekalkan keindahan Gunung Pulut seperti apa yang kami lihat hari ini. Jangan rosakkan keindahan dengan sampah sarap yang bersepah,” katanya.

Bagi pendaki yang pernah mendaki gunung ini, tentu masih teringat-ingat keindahan yang memukau dari puncak.