Selepas berhempas pulas selama empat hari, Amy bersama 24 pendaki lain yang merupakan peminat tegarnya berjaya menjejakkan kaki di kem induk tersebut pada 13 April 2018.

Ekspedisi yang bermula dari Siwai memakan masa tujuh hari untuk pendakian naik dan turun. Pelbagai cabaran ditempuh demi merealisasikan impian tersebut.

Menurutnya, kejayaan itu merupakan kenangan manis buatnya setelah merancang hampir dua tahun bersama isteri tercinta, Nor Hasniza Hassan dan peminatnya dari Malaysia serta Indonesia.

“Saya amat teruja menunaikan impian ini bersama isteri dan peminat kerana kami saling melengkapi dalam mengejar impian masing-masing sepanjang pendakian ini. Banyak kenangan yang kami tempuh bersama dan saya harap kejayaan ini akan memberikan kenangan terindah buat peminat saya selama-lamanya,” katanya kepada S2.

Ekspedisi menakluk ABC itu bermula pada 10 April hingga 16 April. Manakala keseluruhan ekspedisi bermula dari ketibaan di Kathmandu yang merupakan ibu negara Nepal pada 7 April. Kesemua pendaki selamat tiba di tanah air pada 18 April lalu.

Dalam ekspedisi itu juga, Amy dan pendaki turut melakukan kerja amal dengan menyumbang peralatan persekolahan seperti alat tulis dan makanan kepada murid di sebuah prasekolah daif yang dibina hasil sumbangan orang ramai.

Sekolah tersebut menempatkan kira-kira 15 murid yang berumur antara tiga hingga lima tahun.

Mengulas lanjut, Amy berkata, cabaran yang ditempuh dapat dihadapi dengan baik kerana semangat dan kawalan mental yang kuat.

“Kalau semangat kita kuat dan kita benar-benar inginkan apa yang kita mahukan, pasti kita akan berusaha untuk mendapatkannya,” tambahnya.

Beliau turut berterima kasih kepada isterinya yang banyak mendorong dan memberi semangat kepadanya semasa mendaki, selain sebelum ini kedua-duanya pernah melakukan aktiviti lasak 
bersama seperti berbasikal dan payung terjun.

Selain itu, kata Amy, dia akan terus aktif dalam dunia pendakian kerana baginya, mendaki dapat memberi banyak pengajaran dan pengalaman dalam mengenal diri dan juga memberi kesihatan yang baik pada tubuh badan.

Kesemua pendaki berjaya sampai ke kem induk yang berketinggian 4,130 meter dari paras laut setelah mengharungi pelbagai cabaran.

Antara cabaran yang ditempuh ialah hujan lebat, salji, suhu mencecah negatif lima darjah celcius serta tiupan angin kencang.

Sementara itu, salah seorang peminat Amy yang menyertai ekspedisi yang dikendalikan 
oleh Summit Attack Resources (SAR), Jamalnordin Mohamed Taib berkata, pengalaman mendaki ABC bersama Amy dan isterinya meninggalkan kenangan indah yang tidak akan dilupakannya.

“Melihat semangat Amy yang kental membuatkan saya lebih berusaha untuk meneruskan pendakian ke ABC. Semangat kerja berpasukan membuatkan kami berjuang bersama-sama sejak hari pertama sehingga misi ABC ini berakhir,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketua ekspedisi merangkap Pengarah SAR, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa, berkata, beliau sangat kagum dengan semangat yang ada pada Amy sepanjang pendakian ini.

Katanya, Amy langsung 
tidak menunjukkan rasa putus asa walaupun mendaki dalam usia hampir mencecah 60 
tahun.

“Amy sangat gigih mengikuti jadual latihan yang saya sediakan. Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, dia tetap berusaha melakukan persiapan yang telah disusun oleh pihak SAR sejak dari mula sehingga ekspedisi tamat.

“Dia juga sangat patuh mengikut segala panduan dan nasihat yang kami berikan dan sering bertanya untuk mendapatkan maklumat berhubung pendakian,” katanya.

Mohd. Fakhrul turut berkongsi berita bahawa Amy akan terus menjalani latihan untuk mendaki gunung yang lebih tinggi 
selepas ini, antaranya Gunung Kalapattar dan Everest Base Camp di Nepal serta Gunung Kilimanjaro di Afrika, yang merupakan gunung tertinggi 
di benua Afrika. Kesemua ekspedisi itu akan diuruskan oleh SAR dari segi pendakian dan latihan.

Majlis penyampaian sijil kepada semua pendaki telah disempurnakan oleh Kuasa Usaha Sementara/Menteri Penasihat dari Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Nepal, Ahmad Phadil Ismail di sebuah restoran terkemuka di Kathmandu sebelum kesemua pendaki berlepas pulang ke Malaysia.